Lapor remaja berbasikal lewat malam, pesan polis Johor

Lapor remaja berbasikal lewat malam, pesan polis Johor

Lapan mangsa korban itu antara 16 remaja terbabit dalam kemalangan itu yang menggunakan basikal diubah suai secara haram.

Sulaiman-Salleh
PETALING JAYA:
Polis Johor meminta orang ramai menghubungi mereka jika ternampak remaja berbasikal pada lewat malam.

Walaupun banyak operasi dilakukan polis terhadap penggunaan basikal diubah suai secara haram, trend berbahaya itu masih berterusan.

Hari ini, trend itu meragut nyawa 8 remaja selepas dirempuh sebuah kereta di Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata, 8 mangsa korban itu antara 16 remaja terbabit dalam kemalangan itu yang menggunakan basikal diubah suai.

Katanya, penggunaan basikal diubah suai dengan brek selalunya dikeluarkan dan menggunakan roda lebih kecil adalah haram.

“Basikal itu digunakan untuk bersiar-siar pada awal pagi kerana orang yang menggunakannya fikir tiada kereta ketika itu,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Sulaiman berkata, polis merampas 37 basikal diubah suai secara haram menerusi 28 operasi tahun lalu.

“Mulai Januari 2017 sehingga sekarang, kami menjalankan 5 operasi dan sita 17 basikal diubah suai.”

Beliau menggesa ibu bapa, khasnya mereka yang mempunyai anak berusia 10 hingga 18 tahun memerhatikan dan memastikan anak mereka tidak keluar lewat malam.

“Kami tidak menyalahkan sesiapa, tetapi kami menasihatkan semua orang mematuhi undang-undang. Ubah suai basikal adalah satu kesalahan,” katanya sambil menambah pengguna basikal diubah suai secara haram boleh disaman, manakala ibu bapa boleh dikenakan tindakan kerana kecuaian meninggalkan anak tanpa pengawasan.

Beliau berkata, pemandu yang melanggar kumpulan remaja itu datang dari arah Taman Pelangi menuju Skudai dan keadaan jalan di sana melandai.

Katanya, ia adalah sebab pemandu terbabit tidak sempat mengelak remaja berkenaan dan siasatan masih dijalankan.

Dalam kejadian 3 pagi tadi di Jalan Lingkaran Dalam, bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, 6 remaja maut serta-merta di tempat kejadian, manakala 2 lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Aminah.

Dua lagi dalam keadaan kritikal manakala 6 yang lain cedera selepas dirempuh sebuah kereta dipandu seorang wanita berusia 22 tahun.

Malang berbasikal tengah malam dekat kubur, 8 remaja maut

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.