
Sin Chew Daily dan China Press memetik sumber sebagai berkata, suspek juga tidak takut ketika disoal siasat serta bertegas dia tidak membunuh sesiapa, sebaliknya ia sekadar gurauan.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan memaklumkan, suspek wanita warga Vietnam itu bernama Doan Thi Huong dan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), kira-kira jam 8.20 pagi Rabu.
Khalid berkata, suspek dikenal pasti berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lapangan terbang dan bersendirian ketika ditahan semalam.
Sementara itu, sumber polis yang dipetik Sin Chew Daily berkata, Jong-nam tidak mengupah sebarang pengawal peribadi.
Sumber berkata, beliau tidak menonjolkan diri ketika berada di Malaysia demi mengelakkan dibunuh dan siasatan polis mendapati Jong-nam mula membuat pelaburan dalam bidang perniagaan di Malaysia lebih 2 tahun lalu.
Selain Malaysia, beliau juga menjalankan perniagaan di Singapura, oleh itu beliau sering ulang-alik Singapura, Malaysia dan Macau.
Menurut sumber, Jong-nam akan menyewa seunit kondominium mewah ketika berada di Malaysia dan tidak akan keluar rumah, jika tiada urusan luar serta tidak akan berada di sini terlalu lama, kebiasaannya hanya beberapa hari sebelum menaiki pesawat meninggalkan Malaysia.
Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat yang dipetik Oriental Daily berkata, kematian Jong-nam kini diklasifikasikan sebagai pembunuhan, bukan lagi mati mengejut.
Katanya, polis mula menggunakan Seksyen 302 Kanun Keseksaan sejak semalam untuk menyiasat kematian abang sebapa kepada pemimpin Korea Utara itu, Kim Jong-un.
Beliau berkata, polis juga giat memburu 4 suspek lelaki dan seorang wanita Vietnam berusia 20-an yang masih bebas.
Abdul Samah bagaimanapun enggan mengulas jika benar dakwaan suspek wanita dalam tahanan itu kononnya dia diarah mengenakan penumpang dengan gurauan.
Katanya, keadaan sebenar hanya boleh diketahui selepas polis menahan semua suspek terbabit.
Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafa Ibrahim yang dipetik Sin Chew Daily berkata, Jong-nam diserang sebelum beliau sempat melepasi kaunter imigresen.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung identiti sebenar Jong-nam, adakah beliau selalu datang ke Malaysia dan mempunyai dokumen perjalanan sah.
Katanya, pasport yang digunakan Jong-nam bukannya pasport Malaysia.
Kematian Kim Jong-nam: Polis tahan suspek wanita Vietnam di klia2