
Timbalan perdana menteri itu berkata DBKL membenarkan penganjur menggunakan Padang Merbok sebagai lokasi perhimpunan.
“Pihak KDN, khususnya polis, tidak mempunyai halangan jika pihak berkuasa tempatan memberi keizinan menggunakan kemudahan awam,” kata Zahid yang juga menteri dalam negeri.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan dialog meja bulat bersama wakil industri berkenaan pekerja asing di sini hari ini.
Semalam, PAS dilaporkan berkata kira-kira 200,000 orang dijangka hadir perhimpunan tersebut yang bertujuan meraih sokongan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.
RUU persendirian itu dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen pada 24 November lepas bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355, bagi memperkasa Mahkamah Syariah dalam melaksanakan hukuman jenayah.
Sementara itu, mengulas permintaan syarikat perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride agar perkhidmatannya tidak diharamkan, Zahid berkata keputusan Jemaah Menteri semalam dibuat berasaskan beberapa faktor yang dinyatakan Kementerian Pengangkutan.
“Kita merasakan sistem (pengangkutan awam) sedia ada mencukupi untuk penumpang di Lembah Klang khususnya Kuala Lumpur,” katanya.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan berkata pengharaman perkhidmatan teksi motosikal itu dibuat atas faktor keselamatan pengguna.