
Rajiv Rishyakaran berpendapat alasan itu sebab sebenar pengharaman Dego dan mencabar Tiong Lai menyokong kenyataannya berdasarkan statistik yang ada.
Ini kerana fakta menunjukkan rasional menteri pengangkutan tidak berasas.
“Alasan ‘keselamatan’ yang dipetik menteri Liow Tiong Lai untuk mengharamkan Dego itu tidak bertanggungjawab dan mengelirukan. Beliau tidak membuktikan penunggang Dego lebih berisiko berbanding pengguna motosikal lain.
“Sebenarnya ialah sebaliknya. Menurut statistik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), 66% kemalangan motosikal berlaku di luar bandar,” katanya Adun Bukit Gasing dalam kenyataan hari ini.
Menurut Rajiv, majoriti rakyat berada di kawasan bandar. Perkhidmatan Dego Ride meliputi kawasan bandar.
Beliau menambah statistik Miros menunjukkan 33% kematian dalam kemalangan motosikal antaranya kerana penunggang dan pembonceng tidak memakai topi keledar.
Oleh itu Rajiv menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan Raya untuk menangani masalah keselamatan sebenar dan tidak berat sebelah.
Daripada memburu penunggang Dego, Lebih baik JPJ menangani masalah pemandu yang tidak memakai topi keledar jika sejujurnya mahu mengurangkan kemalangan dan kematian.
“Bukan penunggang luar bandar sahaja yang tidak memakai topi keledar, masalah itu juga berlaku dalam kawasan bandar,” kata Rajiv.
Menyentuh keselamatan pengguna Dego Ride, Rajiv berkata statistik Miros menunjukkan kurang daripada 20% kematian dalam kemalangan motosikal melibatkan pembonceng.
“Lebih 80% kematian melibatkan penunggang, ini menunjukkan perjalanan menggunakan Dego tidak lebih berisiko berbanding perjalanan motosikal lain.
“Memang patut menteri prihatin tentang keselamatan penunggang motosikal tetapi beliau mestilah tangani sebab sebenar, dan mengguna pakai usaha sebenar bagi mencapai tujuan itu,” kata Rajiv.
Beliau menambah Tiong Lai perlu akui gagal menangani isu keselamatan motosikal sejak menjadi menteri pengangkutan.
Semalam, Bernama melaporkan kabinet bersetuju dengan pengharaman perkhidmatan Dego Ride oleh kementerian pengangkutan dan kementerian akan menjelaskan kepada orang ramai mengapa perkhidmatan itu perlu dihentikan.