Anak saya kata dia dipukul dalam penjara, kata ibu Chandran

Anak saya kata dia dipukul dalam penjara, kata ibu Chandran

Pachaee berkata, jika anaknya mempunyai masalah psikiatri, kenapa dia ditahan dalam penjara dan tidak dihantar mendapatkan rawatan psikiatri.

s-ramasamy-chandran-muniandi
GEORGE TOWN: Ibu kepada seorang lelaki yang mengalami kecederaan fizikal teruk ketika ditahan di Penjara Sungai Jawi, Pulau Pinang, mendakwa anaknya diserang.

Pachaee Pakiry, 58, berkata Chandran Muniandy, 42, dimasukkan ke Hospital Seberang Jaya dan hanya sedar pada Selasa lalu, tetapi dia tidak boleh bersuara.

Katanya, ketika ditanya jika dia dipukul dalam penjara, anaknya mengangguk kepalanya.

“Saya tanya dia apa terjadi kepada kuku kakinya? Adakah seseorang mencabutnya? Dia angguk kepalanya,” katanya pada sidang media anjuran Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy di pejabatnya hari ini.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Ipoh Barat yang juga seorang peguam, M Kulasegaran.

s-ramasamy-chandran-muniandi1

Pachaee turut mempersoalkan kenyataan polis seperti dilaporkan media yang Chandran tidak mungkin dipukul banduan lain atau pegawai penjara kerana dia menjalani penilaian psikiatri dalam kurungan bersendirian.

“Jika anak saya menghadapi masalah psikiatri, kenapa dia tidak dihantar untuk rawatan psikiatri? Mengapa tahan dia dalam penjara?”

Chandran ditahan polis di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan senjata berbahaya, pada 20 Januari lalu.

Dia yang merupakan pekerja rencam, dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Seberang Jaya dalam keadaan kritikal pada 8 Februari dan hanya sedar semula kelmarin.

Isnin lalu, The Star Online memetik Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Shafee Abdul Samad berkata, Chandran cedera akibat terjatuh dan kukunya dikeluarkan kerana dia menghidap penyakit kulit.

Chandran-Muniandy

Pengarah Penjara Pulau Pinang, Kamarudzaman Mamat dilaporkan berkata, Chandran diletakkan dalam kurungan bersendirian kerana mentalnya tidak stabil.

Ramasamy yang mempengerusikan Pasukan Petugas Mengenai Kematian Dalam Tahanan Pulau Pinang berkata, Chandran tidak boleh bertutur sejak itu dan sentiasa diperhatikan pegawai penjara.

“Saya gembira untuknya. Saya ingat dia akan mati semasa tidak sedarkan diri. Tetapi, apabila saya melawat beliau (pada 14 Februari lalu), dia boleh makan perlahan-lahan dengan sendiri, tetapi tidak boleh bercakap,” kata Ramasamy sambil menambah pegawai penjara hadir ketika lawatannya itu.

Katanya, beliau akan menulis surat rasmi kepada Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye mengenai perkara itu dan mendapatkan laporan perubatan berhubung kecederaan dan keadaan Chandran dari pihak hospital.

Beliau juga mengkritik polis kerana pada mulanya menyangkal dakwaan Chandran diserang.

“Anda tidak boleh hanya menafikannya tanpa siasatan terperinci,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan undang-undang akan diambil, katanya, beliau akan berbincang dengan Kulasegaran dan keluarga Chandran mengenai langkah seterusnya.

Kulasegaran berkata, kes itu menekankan kepentingan mempunyai Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis.

Suruhanjaya sama sudah dicadangkan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia yang dipengerusikan bekas ketua hakim negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah.

“Kami sebaliknya mempunyai Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan. EAIC sekurang-kurangnya perlu memastikan kematian dan serangan sifar di dalam penjara. Tetapi, itu tidak berlaku.”

Kes Chandran berlaku ketika S Balamurugan, 44, mati dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, pada 8 Februari lalu.

Peguam mewakili keluarga Balamurugan berkata, ada “fakta jelas” menunjukkan dia diserang dan menyenaraikan penemuan keluarga dan doktor yang menjalankan bedah siasat ke atas lelaki itu berkata, ada kesan lebam di badan mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.