
PETALING JAYA: Anda mahu belajar mengaji Al-Quran sambil menikmati segala kemewahan pesawat peribadi?
Boleh, dengan bayaran serendah RM2,000 sejam.
Tetapi itu belum lagi di awanan. Bagi mereka yang mahu belajar Al-Quran sambil meluncuri awan, bayarannya RM33,000 sejam.
Mereka yang merebut peluang ini bukan sahaja merasai pengalaman menaiki pesawat peribadi, tetapi juga sesi belajar Al-Quran selama sejam bersama seorang ustazah, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman, yang beberapa kali memenangi pertandingan tilawah.
Sharifah Khasif disokong rakan niaga Hani Salman Ahmad, ketua pegawai eksekutif Elite Jets Sdn Bhd.
“Matlamat utama kami ialah mempromosikan pesawat peribadi. Kami mahu pelanggan Elite Jets mendapat pengalaman bermakna dengan membaca Al-Quran sambil menaiki jet.
“Mereka yang mungkin tidak mahu mengambil pakej penerbangan boleh memilih pakej belajar di dalam jet sahaja, tanpa perlu terbang,” kata Haryati Mohd Taha yang menguruskan kelas kendalian Sharifah.
Beliau memberitahu FMT, mereka melancarkan inisiatif ini kerana terdapat permintaan daripada golongan peniaga dan kerabat diraja.
“Kadang kala, mereka sukar belajar Al-Quran di tempat biasa. Jadi dengan perkhidmatan ini, mereka mendapat privasi sepenuhnya serta pengalaman berada dalam pesawat peribadi.”
Setakat ini, sudah menerima hampir 100 pertanyaan daripada mereka yang berminat.
Tetapi mereka juga tidak terlepas daripada kritikan di media sosial, dituduh menggunakan agama untuk wang.
Haryati menepis semua kritikan itu sebagi tidak berasas kerana Sharifah, yang pernah mewakili negara dalam tilawah antarabangsa tahunan, turut mengajar golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Beliau turut mengajar golongan miskin secara percuma,” kata Haryati.
Pengarah Elite Jets, Nik Eleena Zurenee Nik Mustapha memberitahu FMT, warga tempatan dan luar negara berminat dengan perkhidmatan ini.
Beliau menjelaskan pengajaran Al-Quran cuma pelengkap untuk pelanggan yang berminat mengisi penerbangan mereka dengan pengisian rohani.
“Perniagaan kami ialah sewa jet peribadi,” katanya. Syarikat itu mempunyai 30 buah pesawat.
“Jadi bayaran bukan sahaja untuk belajar Al-Quran. Kadar ditetapkan mengikut kadar standard sewa jet peribadi.”
Kelas Al-Quran pertama Elite Jets dijadualkan bermula Mei.