Kamu tak boleh ambil mayat ini, kata polis kepada Korea Utara

Kamu tak boleh ambil mayat ini, kata polis kepada Korea Utara

Polis tidak membenarkan pelepasan mayat bagi membolehkan bedah siasat dilakukan di Hospital Kuala Lumpur bagi menentukan punca kematian.

Noor-Rashid-Ibrahim_kim-jong-nam_600
KUALA LUMPUR:
Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menolak permintaan Korea Utara untuk melepaskan mayat Kim Jong Nam, abang sebapa pemimpin Korea Utara Kim Jong Un tanpa bedah siasat.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim semasa memberitahu FMT, mengakui menerima permintaan itu tetapi ia tidak boleh dipenuhi kerana berhak melakukan bedah siasat sebelum ia diserahkan kepada pihak sepatutnya.

“Insiden berlaku di sini dan kami perlu menjalankan siasatan terperinci dan bedah siasat adalah sebahagian daripada prosedur,” kata Noor Rashid.

Tambahnya, ahli keluarga terdekat si mati adalah pihak yang sah untuk menuntut mayat.

“Siapa yang menuntut akan mendapat hak selepas semua prosedur selesai. Sekarang, benarkan kami menjalankan tugas,” kata Noor Rashid.

Polis, awal hari ini menahan seorang wanita dengan pasport Vietnam di Kuala Lumpur International Airport 2 (klia2)

Beliau ditahan ketika cuba meninggalkan negara ini untuk ke Vietnam.

The Star melaporkan wanita itu ditahan pada pukul 9 pagi di Sepang.

Portal berita itu memetik Noor Rashid berkata, beliau adalah wanita yang sama dirakam video kamera litar tertutup.

Beliau kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Selangor

Sementara itu Noor Rashid memberitahu FMT suspek boleh membantu polis dalam menyiasat kes itu.

Polis menyifatkan penangkapan itu mempunyai kaitan “kuat” dengan kes berkenaan.

“Kami sedang mencari beberapa orang lagi untuk membantu siasatan,” katanya.

Polis juga menyoal seorang pemandu teksi yang didakwa membawa suspek kes itu ke lokasi lain.

“Beliau tidak terlibat. Kami sudah menyoalnya,” kata Noor Rashid.

Kematian Jong Nam diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat.

Mangsa berusia 46 tahun berada di klia2 menunggu penerbangan ke Macau apabila seorang wanita menyembur sejenis cecair dan menggosok mukanya dengan kain pada Isnin menurut sumber polis.

Beliau pergi ke kaunter perkhidmatan klia2 memohon bantuan perubatan tetapi disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

Polis dalam satu kenyataan malam tadi berkata, lelaki berkenaan dikenal pasti melalui pasport sebagai Kim Chol dari Pyongyang.

Sumber berkata, si mati mempunyai persamaan dengan Jong Nam tetapi hanya cap jari dan ujian DNA boleh mengesahkan jika si mati benar-benar Jong Nam, abang sebapa pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.

Sumber lain berkata Kim Chol adalah nama yang Jong Nam digunakan pada pasport bagi tujuan perjalanan.

Kematian Kim Jong-nam: Polis tahan suspek wanita Vietnam di klia2

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.