
Timbalan Presiden Fomca Mohd Yusof Abdul Rahman juga berharap kementerian tidak bersikap berat sebelah.
“Perkhidmatan Uber dan Grab juga tidak ada lesen perdagangan. Dalam hal ini, kerajaan masih berdiam diri.
“Sama juga dengan Dego Ride, kalau dari segi keselesaan ia mudah dan sesuai untuk perjalanan jarak dekat. Seperti contoh nak pergi ke Transit Aliran Ringan (LRT) dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) yang jaraknya hanya 3km.
“Takkan nak ambil teksi atau Uber/Grab. Jalan kaki pula jauh. Perkidmatan Dego Ride ini satu kemudahan yang boleh kita gunakan,” katanya kepada FMT.
Semalam, Kementerian Pengangkutan sekali lagi mengarahkan perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride dihentikan serta-merta atas faktor keselamatan.
Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya juga tidak akan memberikan lesen operasi kepada pengendali perkhidmatan tersebut buat masa ini dan akan mengambil tindakan undang-undang jika masih lagi beroperasi.
Bagaimanapun perkhidmatan teksi motosikal itu masih terus beroperasi selepas Pengasas Dego Ride Nabil Feisal Bamadhaj berkata pelanggan masih membuat tempahan.
Nabil berkata berikutan tempahan masih diterima, masih ada yang terus mengambil penumpang.
Bagaimanapun, Yusof mengakui perkhidmatan itu memang merbahaya sekiranya perjalanan jarak jauh dilakukan.
Katanya, Kementerian Pengangkutan boleh mengkaji dari segi aspek pemberian insurans supaya perkhidmatan teksi motosikal ini lebih diyakini serta selamat untuk diteruskan.
“Ia sebagai alternatif kepada pengguna untuk memudahkan perjalanan dan menjamin keselamatan.
“Kalau di Indonesia dan China ada kenderaan motosikal komersil dijalankan. Jadi di Malaysia juga mungkin boleh ada juga perkhidmatan seperti itu untuk jarak dekat antara 5km hingga 10km,” katanya.