
Kim Jong Nam, abang sebapa kepada pemimpin agung Korea Utara itu, memang dikenali sentiasa berada di luar negara.
Media Korea Selatan, TV Chosun, memetik pelbagai sumber kerajaan Korea Selatan melaporkan Kim diracun di lapangan terbang Kuala Lumpur oleh 2 perempuan dipercayai ejen Korea Utara, yang masih bebas.
Sumber kerajaan Korea Selatan yang bercakap kepada Reuters belum memberikan maklumat lanjut.
Kementerian luar negeri Korea Selatan tidak dapat mengesahkan laporan tersebut, manakala agensi perisikan pula belum dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.
Ketua polis yang bertanggungjawab untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali memberitahu Reuters seorang lelaki Korea sekitar umur 40-an ditemui dalam keadaan sakit di lapangan terbang itu semalam.
Pihak berkuasa lapangan terbang segara membawanya ke hospital tetapi beliau mati dalam perjalanan, katanya.
“Kami tidak mempunyai sebarang maklumat lain mengenai lelaki Korea ini. Kami tak tahu identitinya,” kata Abdul.
Seorang kakitangan di wad kecemasan di hospital Putrajaya berkata mereka ada mayat seorang warga Korea yang dilahirkan pada 1970 dan memiliki nama keluarga Kim.
Kim Jong-nam pernah dilihat akan mengambil alih pemerintahan Korea Utara tetapi mengundang kemarahan bapanya, Kim Jong-il, apabila beliau ditangkap cuba memasuki Jepun menggunakan pasport palsu pada 2001 kerana mahu melawat Disneyland.
Sejak itu beliau hidup dalam buangan, terutamanya di wilayah China, Macau.
Kim Jong-un mengambil alih pemerintahan Korea Utara apabila bapa mereka mati pada Disember 2011.
Kim Jong-nam, dikenali sebagai seorang reformis, pernah memberitahu akhbar Jepun bahawa beliau membantah peralihan kuasa dinasti di negaranya.
Sekiranya disahkan, kes Kim akan menjadi kematian paling berprofil tinggi di bawah rejim Kim Jong-un sejak bapa saudaranya Jang Song-Thaek dihukum mati pada Disember 2013.