Lindsay Lohan akui sedang dekati Islam

Lindsay Lohan akui sedang dekati Islam

Bekas bintang Disney itu berkata beliau belum masuk Islam tetapi 'dalam proses mengubah ke arah sesuatu'.

lindsay-lohan
PETALING JAYA:
Bintang Hollywood Lindsay Lohan mengakui mendalami Al-Quran sejak kebelakangan ini, mengesahkan pelbagai spekulasi mengenainya selepas gambar beliau memegang naskhah kitab suci itu tersebar luas.

Dalam wawancara bersama akhbar Britain, Daily Mail, pelakon dan penyanyi berusia 31 tahun itu bagaimanapun tidak secara jelas menyatakan sama ada beliau sudah memeluk Islam.

Sebaliknya, Lindsay menceritakan bagaimana beliau takut kembali ke Amerika Syarikat pada masa ini “kerana kepercayaan saya”.

“Saya takut datang ke sini kerana kepercayaan peribadi saya, disebabkan pelbagai perkara yang sedang berlaku,” katanya dalam wawancara video yang dimuat naik ke laman Facebook akhbar itu, merujuk dasar Presiden Donald Trump yang melarang kemasukan pelarian dan rakyat dari beberapa negara Islam.

Pelakon yang terkenal dengan wataknya dalam filem The Parent Trap, Mean Girls dan Herbie itu baru-baru ini mengakhiri lawatannya ke Turki dalam usaha membantu pelarian Syria di negara itu.

Katanya, beliau merasakan kedamaian dalam mendalami ajaran Islam.

“Ia proses untuk mengubah ke arah sesuatu,” katanya. “Saya menghormati semua agama.. ia (Islam) sebuah agama yang indah dan saya seorang yang sangat spiritual.

“Anda tidak boleh tukar agama sekelip mata,” tambahnya.

Bulan lalu, Lindsay berkata akan berehat daripada aktiviti media sosial, dan mengeluarkan semua gambar di akaun Instagramnya.

Beliau juga memuat naik ucapan “alaikum salam” dalam Facebook, kiriman yang mencetuskan spekulasi beliau sudah memeluk Islam.

Walaupun membantah keras dasar Trump, Lindsay bagaimanapun berkata masih ada harapan untuk meyakinkan presiden berhaluan kanan itu mengubah pendiriannya mengenai pelarian, dan mencontohi sikap Turki.

“Beliau seorang presiden, kita perlu bersamanya. Kalau tak boleh menundukannya, kenalah bersamanya.”

Beliau berharap Trump akan melawat Turki bagi melihat sendiri bagaimana pelarian dibela.

“[Perdana Menteri Turki Tayyip] Erdogan berjiwa besar, dan rakyatnya berdiri di belakangnya.

“Kita perlu bersatu padu seperti itu.”

https://www.facebook.com/DailyMail/videos/1963101753749563/

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.