
Beliau berkata, projek perintis yang kini dilaksanakan di Selangor melibatkan kawasan di Seksyen 7, Shah Alam dan AU2, Keramat, masih dalam tempoh percubaan untuk memahami tingkah laku spesies nyamuk penyebar penyakit sama ada ia boleh mengurangkan kes demam denggi di negara ini.
“Sebaik sahaja kami memperoleh keputusan dan keberkesanan penggunaannya, barulah kami boleh memutuskan sama ada untuk melaksanakan kaedah ini di seluruh negara,” katanya selepas melawat Klinik Kesihatan Buntong hari ini.
Beliau berkata, kaedah itu akan diteruskan sekiranya didapati berupaya mengawal demam denggi, terutamanya di kawasan merekodkan wabak berkenaan.
Dr Subramaniam berkata, wabak denggi diramal meningkat sekitar Julai atau Ogos tahun ini.
Beliau berkata, Selangor merekodkan kes demam denggi tertinggi, iaitu 7,355 kes termasuk 12 kematian bagi tempoh 1 Januari hingga 2 Februari lepas, diikuti Johor (2,379 kes).
Mikro-organisme “Wolbachia” diperkenalkan pada Januari tahun lepas oleh Institut Penyelidikan Perubatan dengan kerjasama Lancaster University, United Kingdom.
Tahun lepas, Bernama memetik Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah sebagai berkata, penggunaan mikro-organisme “Wolbachia” yang disuntik ke dalam telur nyamuk Aedes ‘aegypti’ sebagai kaedah untuk menghalang penularan virus denggi di kalangan manusia.
Dr Noor Hisham berkata, nyamuk Aedes yang terhasil daripada telur disuntik itu tidak membawa virus denggi dan seterusnya menghalang penyebaran denggi.