Pelihara keharmonian negara, jangan iktiraf UEC, kata Perkasa

Pelihara keharmonian negara, jangan iktiraf UEC, kata Perkasa

Perkasa berasa ia hanya akan menjejaskan perpaduan nasional selain bertentangan dengan Falsafah Pendidikan Negara.

perkasa_pelajar_60012
PETALING JAYA:
Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) mendesak kerajaan memberikan jawapan muktamad dan tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaaan Bersepadu (UEC) selama-lamanya.

Ketua Penyelidik Biro Pendidikan Perkasa, Datuk Abdul Rauf Husein berkata tindakan memperkenalkan UEC akan menjejaskan perpaduan nasional selain bertentangan dengan Falsafah Pendidikan Negara.

Perkasa menyenaraikan beberapa sebab UEC tidak seharusnya diperkenalkan, antaranya bahasa Melayu tidak digunakan sebagai bahasa pengantar sebaliknya bahasa Mandarin digunakan di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

“Kewujudan SMPC dan UEC bertentangan serta bercanggah dengan Dasar Pendidikan Negara, iaitu Penyata Razak 1956, Akta Pendidikan 1961 dan 1996,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

UEC adalah peperiksaan seragam untuk pelajar di 60 sekolah menengah Cina di seluruh negara, sejak 1975. Ia diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk Universiti Oxford, tetapi bukannya di Malaysia.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata akan meminta menteri pendidikan menjalankan kajian mendalam berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaaan Bersepadu (UEC).

Zahid berkata, hasil kajian itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Rauf yang juga bekas timbalan ketua pengarah pendidikan berkata, UEC tidak layak diiktiraf ekoran SMPC tidak menggunakan buku teks subjek Sejarah yang digunakan sekolah kerajaan dan hanya menyentuh sedikit mengenai Sabah dan Sarawak.

“Buku teks SMPC menengah atas, hanya menyentuh topik yang sedikit tentang pembelajaran Sejarah Malaysia. Tajuk Sejarah Malaysia dirangkumkan dalam tajuk Malaysia dan negara jiran (Asia Tenggara).

“Manakala untuk sejarah China, terdapat buku khusus yang menerangkan secara terperinci berkaitan sejarah negara itu. Peratus pengisian Sejarah Malaysia amat sedikit,” katanya.

Bukan itu sahaja, Rauf turut menyatakan terdapat kandungan atau fakta yang salah, tidak tepat dan menghina orang Islam.

“Contohnya, dalam buku teks Sejarah Junior 1 halaman 76. Solat dikatakan sebagai 6 waktu dengan mengambil kira solat Jumaat. Solat Jumaat dilaksanakan selepas tengah hari,” katanya.

Beliau turut mendedahkan terdapat isu sensitif dan konflik yang menjelaskan secara mendalam peristiwa 13 Mei dan memberikan data kematian orang Cina seramai 163 orang, Melayu (25) dan India (13). Dikatakan kematian mungkin lebih ramai lagi (Rujuk Sejarah Jilid 3 muka surat 122 dalam Bab 3,Volum 1).

Sejak kebelakangan ini, UEC menjadi isu kontroversi terutamanya ketika pilihan raya di mana parti politik menggunakannya sebagai alat untuk kepentingan politik sendiri.

Penyokong UEC berkata, Malaysia rugi kerana tidak mengiktiraf sijil itu, manakala pengkritik pula berhujah ia tidak sejajar Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Kerajaan akan kaji pengiktirafan UEC, kata Zahid

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.