TMJ: Khairy atau proksi akan jadi presiden FAM baru

TMJ: Khairy atau proksi akan jadi presiden FAM baru

Tunku Ismail berkata, beliau tiada peluang memenangi jawatan presiden FAM.

TMJ
PETALING JAYA:
Tunku Mahkota Johor (TMJ) melihat pertandingan untuk jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) antara beliau, menteri belia dan sukan serta proksi menteri itu.

Berkongsi pandangannya berhubung pemilihan jawatan presiden FAM pada Kongres FAM bulan depan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, beliau tidak berfikir banyak tentang peluangnya untuk memenangi jawatan itu.

“Saya mana ada peluang nak lawan orang politik. Saya datang dari negeri kecil, dan jaga kelab kecil.

“Khairy Jamaluddin atau proksi menteri,” katanya menjawab soalan siapa yang beliau rasakan akan dipilih menjadi presiden FAM.

“Tetapi, perbezaan di antara kami adalah mereka memerlukan wang, kedudukan, dan kemudian membunuh impian anda. Saya pula mempunyai sumber untuk memenuhi impian anda,” katanya menerusi catatan di Facebook Johor Southern Tigers hari ini.

Kongres FAM ke-53 yang akan berlangsung pada 25 Mac ini akan menyaksikan pemilihan jawatan utama bagi badan induk bola sepak negara itu.

Empat calon layak bertanding jawatan presiden FAM, iaitu Tunku Ismail, Khairy, bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dan bekas ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat.

Ini bukan kali pertama Tunku Ismail bercakap mengenai ahli politik memainkan peranan dalam FAM.

Dalam sesi soal jawab dengan peminat Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dimuat naik ke laman Facebook sama pada 31 Januari lalu, Tunku Ismail berkata, beliau tidak mahu jawatan presiden FAM jatuh ke tangan mereka yang bercita-cita politik atau mempunyai sebarang hubungan politik.

“Sesiapa yang mahu menjadi presiden mestilah seseorang tanpa sebarang hubungan politik kerana ia boleh disalahgunakan, itu sahaja. Ia perlu adalah seorang individu yang boleh berkhidmat hanya untuk bola sepak,” kata pemilik kelab JDT.

Tunku Ismail percaya situasi itu tidak akan membantu keadaan bola sepak di negara ini.

“Saya rasa cukup menyedihkan untuk melihat yang kami perlu bergaduh dengan badan induk dan beberapa individu hanya untuk menyelamatkan bola sepak,” katanya yang menasihatkan penyokong bola sepak berfikir dengan bijak seperti pesanan seorang bekas jeneral Tentera India kepadanya.

“Jangan memandang rendah kuasa seorang ahli politik yang terdesak, yang sanggup melakukan atau mengatakan apa sahaja untuk mengekalkan kedudukan mereka dan memanipulasi minda yang tidak bersalah untuk kepentingan peribadi mereka sendiri,” katanya memetik kata-kata jeneral itu.

TMJ, Khairy, Annuar Musa dicalon jadi presiden FAM

Sultan Ibrahim benarkan TMJ bertanding presiden FAM

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.