
Panglima Tentera Australia, Leftenan Jeneral Angus Campbell memohon maaf kepada rakan sejawatannya dari Indonesia, Jeneral Gatot Nurmantyo ketika melawat ibu pejabat Tentera Indonesia (TNI) di Cilangkap, timur Jakarta, semalam.
Kejadian itu berlaku selepas seorang tentera Angkatan Khas Indonesia mendakwa ternampak bahan latihan yang digunakan di Perth itu, merendah-rendahkan TNI dan ideologi negara itu, Pancasila.
“Pancasila ialah ideologi kebangsaan Indonesia dan semua rakyatnya. Itu sebabnya rakyat Indonesia sanggup mati mempertahankan ideologi itu dan untuk tentera kita, ia sangat sensitif dan menyakitkan (kerana dihina),” kata Gatot.
Susulan kejadian itu, Straits Times Singapura melaporkan, Pasukan Pertahanan Australia (ADF) turut menggantung semua modul latihan berkaitan Indonesia dan sedang mengkaji semula anggota terbabit.
TNI dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi berkata, ADF turut mengambil tindakan ke atas anggota bertanggungjawab dalam kejadian itu.
Bagaimanapun, kerjasama ketenteraan antara Indonesia dan Australia yang digantung sejak 29 Disember lalu, belum dipulihkan.
Menurut TNI, Gatot akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu dan Menteri Luar, Retno Marsudi berhubung perkara itu sebelum memaklumkan Presiden, Joko Widodo.
Pasukan Khas Indonesia mengadakan latihan secara tetap dengan Regimen Perkhidmatan Udara Khas Australia yang berpangkalan di Berek Campbell, Perth.
ADF dan TNI menjalin kerjasama rapat bagi menentang keganasan sejak beberapa tahun ini walaupun hubungan mereka berdepan cabaran akibat pembabitan Australia yang menyebabkan Indonesia menarik diri dari Timor Timur pada 2002.
Hubungan kedua-dua negara jiran itu turut diuji dengan masalah bot membawa pendatang asing tanpa izin dan perdagangan lembu hidup serta skandal agensi risikan Australia mengintip presiden ketika itu, Susilo Bambang Yudhoyono.
Hubungan 2 negara itu mula berubah sejak setahun lalu, selepas Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull menemui Joko pada 2015 dan tidak memperbesarkan isu Pancasila, selepas Gatot menggantung hubungan ketenteraan mereka.