
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata 15 mangsa itu termasuk 5 kanak-kanak, terdiri daripada 12 lelaki dan 3 perempuan.
“Tiga belas mangsa masih hilang manakala 2 lagi selamat selepas berenang kira-kira 25 jam dari lokasi kejadian ke pantai Batu Payung,” katanya.
Beliau berkata 2 yang terselamat itu dikenali sebagai Budiman Muslimin, 26, berasal dari Sulawesi Barat serta isterinya Hasmida Masaniaga, 24, dari Sulawesi Selatan.
Dalam pada itu, Fadil berkata insiden itu berlaku kira-kira 5 hingga 10 minit selepas bot laju yang bertolak dari Batu Payung, Tawau pada 5.30 petang itu menuju ke Sungai Nyamuk, Indonesia sebelum dipukul ombak besar.
Sementara itu, beliau berkata pejabat Konsul Republik Indonesia di Tawau dimaklumkan berhubung tragedi tersebut pada 7.30 malam tadi.
Operasi mencari dan menyelamat 13 mangsa bot karam itu dihentikan pada 12 tengah malam tadi, dan akan disambung esok melibatkan kawasan pencarian 7 batu nautika Selatan Tinagat.