‘Jangan cetus sentimen kaum dengan isu berus bulu babi’

‘Jangan cetus sentimen kaum dengan isu berus bulu babi’

Badan pemikir itu berkata, serbuan berprofil tinggi itu tidak perlu kerana peniaga kedai perkakasan tidak sedar berus itu diperbuat daripada bulu babi atau ia akan digunakan dalam penyediaan makanan.

ganpingsiew
PETALING JAYA:
Tiada sebab memperhebatkan serbuan ke atas kedai perkakasan disebabkan isu berus cat yang dipercayai menggunakan bulu babi dengan sebarang sentimen perkauman dan agama tersembunyi, kata sebuah badan pemikir.

Presiden Centre for a Better Tomorrow (Cenbet), Gan Ping Sieu menerusi kenyataan hari ini berkata, ia sekadar isu perihal produk perdagangan dan tidak lebih daripada itu.

“Penemuan bulu babi dalam berus cat perlu ditangani sebagai isu perihal dagangan dan tidak boleh digunakan untuk mencetuskan sentimen isu perkauman dan agama,” katanya yang menyeru pihak terbabit melabelkan kandungan produk dan barang makanan mengandungi bahan dilarang sesetengah agama.

Beliau berkata, amalan itu juga perlu diperluaskan kepada semua agama utama di negara ini seperti Islam yang melarang umatnya makan daging babi dan penganut Hindu dilarang makan daging lembu.

Gan turut meminta agensi kerajaan berkaitan, seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengawal selia amalan itu dengan cara telus.

“Proses pelabelan boleh dibuat di sumber, seperti pengeluar, pengimport atau pemborong. Ia tidak sama dengan label ‘tiada daging’ yang ditemui dalam makanan vegetarian atau label ‘tiada ujian haiwan’ untuk sesetengah produk farmaseutikal.

“Mana-mana peraturan dan arahan perlu disampaikan dengan jelas kepada peniaga. Nasihat dan amaran perlu diberikan sebelum langkah punitif diambil.

“Penguatkuasaan berprofil tinggi tidak berguna disebabkan sensitiviti isu ini,” katanya.

Bekas naib presiden MCA itu berkata, ramai peniaga kedai perkakasan yang diserbu baru-baru ini tidak tahu produk mereka mengandungi bulu babi kerana sudah menjualnya sekian lama.

“Saya rasa peniaga tidak tahu pun berus yang dibeli pelanggan digunakan untuk penyediaan makanan.

“Oleh itu, serbuan berprofil tinggi hanya akan menambah kebimbangan dalam sebuah masyarakat yang sudah terjejas akibat golongan radikal.”

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa mempertimbangkan tidak mendenda peniaga terbabit, jika mereka didapati menjual produk itu tanpa niat jahat atau ketamakan.

“Dalam masyarakat majmuk seperti kita, penguatkuasaan ke atas perkara sensitif sedemikian perlu dilakukan dengan bijak dan tanpa publisiti media. Dalam kes ini, tidak perlu menimbulkan kebimbangan di kalangan umat Islam dan kemarahan terhadap peniaga.

“Ini adalah perkara terakhir yang kita perlukan ketika ini, apabila golongan radikal menjejaskan perpaduan negara dengan agenda sempit yang mementingkan diri,” katanya.

Ahad lalu, KPDNKK dilaporkan akan memeriksa semua premis menjual perkakasan binaan dan pasar raya di seluruh negara bagi mengesan berus cat bulu babi yang dijual di pasaran.

Ia susulan penemuan Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia (IPPH-UPM) yang mendapati sampel berus cat dihantar untuk ujian makmal disahkan diperbuat daripada bulu babi.

Ekoran itu, KPDNKK dengan kerjasama jabatan agama negeri melakukan pemeriksaan mengejut dan merampas berus cat disyaki diperbuat daripada bulu babi, selain menggunakan logo dan sijil halal palsu.

Ketua Penguat Kuasa KPDNKK Selangor, Abdul Rosik Yakub dilaporkan berkata, mengikut rekod Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, kod A913 dan A680 yang tertera pada berus cat itu menunjukkan berus itu diperbuat daripada bulu babi.

Hamzah: Henti rampas berus bulu babi, elak perpecahan kaum

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.