
Beliau berkata demikian dalam sesi membincangkan rang undang-undang Palang Merah Indonesia yang antara lain menyentuh penggunaan logo menyerupai simbol “+” itu.
“Saya sedia maklum ada persoalan mengenai logo. Logo Palang Merah berbentuk simbol ‘campur’ dalam matematik kerana ia berukuran sama, bukan seperti simbol salib Kristian,” Kalla, yang juga pengerusi Palang Merah Indonesia, dipetik The Jakarta Post memberitahu sesi khas mengenai kesihatan dan hal ehwal sosial di Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia semalam.
Beliau menjawab soalan wakil daripada Partai Amanat Nasional yang mahu penjelasan Kalla mengapa logo itu harus dikekalkan.
“Kerana sebuah logo menggambarkan nilai,” kata Saleh Daulay mewakili parti Islam moderat itu.
Kalla menjawab logo palang itu tidak harus dijadikan isu.
“Anda perlu ingat, simbol ‘campur’ dicipta ahli matematik Islam, Ibn Musa Al Khawarizmi, dan tidak ada apa-apa perlu dibimbangkan,” kata Kalla.
Akta mengenai Palang Merah Indonesia sudah 10 tahun ditunda, dan salah satu isu berbangkit ialah penggunaan logonya.
Pergerakan Palang Merah atau Red Cross dimulakan seorang ahli perniagaan Henry Dunant dan Gustave Moynier di Switzerland pada 1863, bagi membantu mangsa perang di samping melakukan pelbagai aktiviti kemanusiaan.
Ia turut menggunakan nama Bulan Sabit Merah dengan logo bulan sabit di beberapa negara Islam. Di Israel, ia menggunakan nama The Red Crystal, susulan seruan supaya logo agama Yahudi berbentuk bintang David menggantikan simbol berupa salib.