Selva Kumar setuju dipantau polis, kata Khalid

Selva Kumar setuju dipantau polis, kata Khalid

Polis juga akan bekerjasama dengan masyarakat setempat untuk bersama memantau Selva Kumar dan meminta orang ramai tidak bimbang dengan soal keselamatan.

khalid-abu-bakar_selva-kumar_600new
JOHOR BAHRU:
Bekas banduan, Selva Kumar Subbiah bersetuju dipantau polis walaupun dia tidak diwajibkan undang-undang negara ini untuk melaporkan diri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, lelaki berumur 56 tahun itu kini berada di Lembah Klang dan sudah memberikan butiran dirinya yang diperlukan polis, sejurus tiba di negara ini semalam.

“Kita (polis) tahu di mana dia (Selva Kumar) akan tinggal, jadi kita akan pantau dia. Undang-undang kita (Malaysia) tidak membenarkan kita (polis) menahan dia, tetapi dia sendiri rela dan bersetuju untuk dipantau,” katanya selepas menghadiri Amanat Ketua Polis Negara sempena Persidangan Ketua-ketua Jabatan Pengurusan dan Institusi Latihan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan masyarakat setempat untuk bersama memantau Selva Kumar dan meminta mereka tidak bimbang dengan soal keselamatan.

“Buat masa ini, tidak ada apa yang perlu dirisaukan terhadapnya (Selva Kumar). Dia bebas kerana dia sudah menjalani hukuman di tempat dia melakukan jenayah. Dia warga kita (Malaysia), jadi dia bebas di sini,” katanya.

Selva Kumar yang berasal dari Pulau Pinang dan selesai menjalani hukuman penjara 24 tahun di Toronto, Kanada, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada jam 7.30 pagi semalam dengan menaiki pesawat Qatar Airways dari Doha.

Pada 1992, mahkamah Kanada menjatuhkan hukuman 24 tahun ke atas Selva Kumar selepas didapati bersalah atas 19 tuduhan serangan seksual, 28 pertuduhan penggunaan bahan larangan seperti dadah, dan 10 pertuduhan pelbagai serangan serta kesalahan lain.

Selva Kumar pulang disambut ahli keluarga

Selva ‘benar-benar sudah insaf’, keluarga mahu bersihkan nama

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.