
Jakarta Post melaporkan, Kementerian Pemerkasaan Wanita dan Perlindungan Kanak-kanak berkata mereka akan bekerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Agama untuk memasukkan mesej menentang perkahwinan kanak-kanak menerusi khutbah Jumaat.
Jurucakap kementerian itu Rohika Kurniadi Sari dipetik berkata pada Jakarta Post, selama bertahun-tahun, pemimpin agama membiarkan amalan perkahwinan kanak-kanak kerana mereka cenderung berfikiran sempit mengenai seksualiti dan perkahwinan.
Katanya, sesetengah ulama di Jawa Tengah dan barat Nusa Tenggara sudah menyatakan persetujuan untuk mempromosikan kempen menentang perkahwinan kanak-kanak.
“Mereka sendiri mencadangkan supaya mesej itu disampaikan menerusi khutbah Jumaat kerana lelaki juga boleh menjadi ejen perubahan yang dapat mengurangkan jumlah perkahwinan kanak-kanak,” katanya kepada Jakarta Post.
Rohika berkata kementeriannya dengan Kementerian Hal Ehwal Agama akan diselaraskan, dan merancang untuk mengeluarkan garis panduan menyeragamkan khutbah Jumaat, bagi membincangkan kemungkinan mesej disampaikan menerusi khutbah.
Jakarta Post melaporkan, masalah dengan sesetengah pendakwah Islam ialah mereka cenderung mengukur kesediaan untuk berkahwin atau kedewasaan hanya berdasarkan kepada permulaan akil baligh.
Rohika berkata pandangan sempit itu menghalang kepada usaha menghentikan amalan perkahwinan kanak-kanak di Indonesia kerana ia masih diterima masyarakat sebagai sebahagian cara hidup sosial, menyebabkan masalah seperti itu bukan satu isu.
Ini menyebabkan kadar perkahwinan kanak-kanak di negara itu masih tidak berubah. Menurut data Agensi Statistik Negara, kadar jumlah perkahwinan kanak-kanak bawah 18 tahun ialah 22.8% pada 2015, hanya turut sedikit berbanding 24.5% pada 2010.
Timbalan penolong kementerian bahagian perlindungan kanak-kanak daripada keganasan dan eksploitasi, Rini Handayani berkata Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) sebelum ini sudah pun mengeluarkan garis panduan cara berkempen untuk perlindungan kanak-kanak menerusi khutbah Jumaat.
“Pada masa ini kami sedang berusaha untuk membuat garis panduan untuk khutbah di gereja memasukkan pesanan mengenai perlindungan kanak-kanak,” katanya dipetik daripada Jakarta Post.
Perkahwinan kanak-kanak menyebabkan kualiti hidup kanak-kanak perempuan menurun dan menurut Unicef, kanak-kanak yang dikahwinkan akan terpaksa berhenti sekolah menyebabkan peluang pekerjaan mereka turut tersekat.