
Walaupun beliau bukan orang Melayu pertama menyertai parti itu, tetapi Zaid berharap beliau sekurang-kurangnya dapat membantu parti itu menangkis dakwaan DAP sebuah parti cauvinis dan lebih ramai orang Melayu dapat menerima DAP.
“Ada ramai orang Melayu menyertai DAP, tetapi itu (membuktikan DAP tidak anti-Melayu) yang saya harapkan dan saya percaya orang Melayu adalah bijak,” katanya pada sidang media untuk mengumumkan keputusannya menyertai DAP, yang diadakan di rumahnya hari ini.
Mengenai tindakan sesetengah pihak melabelkan dirinya Melayu liberal dan kesannya dalam usaha memenangi hati akar umbi, Zaid berkata: “Pertama sekali, saya tidak fikir mereka tahu apa makna liberal.
“Kedua, saya bukan datang daripada keluarga bangsawan dan tidak kaya seperti (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib Razak.
“Saya dari kampung. Ayah saya seorang petani. Saya lebih Melayu daripada PM. Saya amat selesa dengan kelayakan Melayu saya dan boleh dikaitkan dengan semua orang Melayu.”
Sementara itu, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Wanita, Syerleena Rashid berkata, lebih ramai orang Melayu di luar bandar akan menyokong DAP, susulan penyertaan Zaid.
“Kami tidak mahu menggalakkan politik perkauman dan apabila saya lihat orang seperti Zaid menyertai DAP, saya tak fikir orang Melayu, sebaliknya menganggap seorang rakyat Malaysia menyertai parti ini,” kata ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang itu.
“Saya setuju mungkin lebih sukar meyakinkan orang Melayu di luar bandar untuk berfikir seperti itu kerana Umno bermain dengan emosi dan ketakutan mereka, jika pembangkang menang pilihan raya, akan ada perdana menteri berbangsa Cina daripada DAP.
“Tetapi, kita (DAP) menentang dakwaan itu dengan fakta kukuh dan beritahu orang Melayu di kawasan luar bandar yang Perlembagaan Persekutuan menyatakan PM mesti orang Melayu beragama Islam.
“Usaha ini menyaksikan progres perlahan dan kerana Zaid terkenal di kalangan orang Melayu, kita berharap beliau dapat membantu usaha ini. Kami kekal positif.”
Turut hadir di rumah Zaid pagi tadi ialah bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan beberapa ahli DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) serta Amanah.
Bagaimanapun, tiada pemimpin PKR yang menghadiri sidang akhbar itu.
Zaid pernah menyertai Umno dan PKR, sebelum menghidupkan semula sebuah parti kecil dinamakan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita).
Pada 2013, beliau bersara daripada dunia politik tetapi kekal lantang mengkritik kerajaan Barisan Nasional.