
Ketua misi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya tidak dibenarkan masuk kerana faktor keselamatan dan saiz kapal yang besar.
Menurutnya, kerajaan Bangladesh memberi 3 tempat lain, iaitu pulau Saint Martin, Kutubdia dan Chittagong sekiranya ingin memasuki negara itu.
“Saya terima surat dari Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh yang memaklumkan di 3 tempat itu sukarelawan tidak dibenarkan turun dari kapal.
“Kami ingin turun dan serah bekalan makanan, harap kerajaan Bangladesh beri kebenaran,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau juga berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dapat membantu mereka mendapatkan kembali kelulusan untuk menghantar bekalan kepada etnik Rohingya di Teknaf.
“Pada awalnya, kita sudah dapat ‘Visa On Arrival’ dan semua boleh turun untuk membantu etnik Rohingya.
“Sekarang semua tidak dibenarkan turun, kami hanya ingin laksanakan ibadah, iaitu hantar bantuan kemanusiaan,” katanya.
Pada 4 Februari lalu, Kementerian Luar mengesahkan kerajaan Bangladesh bersetuju membenarkan kapal misi bantuan kemanusian itu berlabuh di Pelabuhan Teknaf.
Kebenaran itu diberi berikutan pertemuan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dengan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia, Md Shahidul Islam.
Misi yang masuk hari ke-5 itu membawa 2,300 tan metrik bekalan makanan, keperluan perubatan, harian, pakaian dan selimut dijangka belayar selama 18 hari melalui Laut Andaman untuk sampai ke Yangon dan kem pelarian di Bangladesh.
Misi “Food Flotilla for Myanmar” itu dianjurkan Kelab Putra 1Malaysia (KP1M) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).
Ia turut disertai kira-kira 195 sukarelawan dari 12 negara melibatkan pasukan perubatan, tenaga pengajar, pengamal media tempatan dan antarabangsa, serta wakil NGO tempatan dan luar negara.
tags: bahasa, FMT, Malaysia, KL, Rohingya, Myanmar, Bangladesh, Teknaf, flotila