‘Saya tidak ada apa-apa yang nak disembunyikan’, kata Ku Chin Wah

‘Saya tidak ada apa-apa yang nak disembunyikan’, kata Ku Chin Wah

'Kenapa perlu saya sembunyikan hal itu apatah lagi komisen tersebut sah di sisi undang-undang' kata bekas ketua JSJ Kuala Lumpur itu.

Ku-Chin-Wah--1
KUALA LUMPUR:
Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini beliau tiada sebab untuk menyembunyikan maklumat komisen dan saham yang diterimanya sepanjang perkhidmatan.

“Dari awal lagi apabila ditanya, saya telah memaklumkan tentang komisen RM30,000 dan RM800,000, saya telah jelaskan komisen digunakan untuk beli saham.

“Saya isytihar semua saham. Saya isytihar komisen itu pada Lembaga Hasil Dalam Negeri dan saya juga membayar cukai.

“”Saya tidak ada apa-apa yang nak disembunyikan. Kenapa perlu saya sembunyikan hal itu apatah lagi komisen tersebut sah di sisi undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguamnya, Datuk Geethan Ram Vincent, ketika pemeriksaan utama peringkat bela diri.

Bernama melaporkan komisen yang disebutkan Chin Wah itu hasil jualan pangsapuri di Johor Bahru dan hasil jualan 2 buah hotel di Kuala Lumpur.

Chin Wah, 59, dituduh gagal mengisytiharkan segala punca perolehan dalam akuan bersumpah bertarikh 8 Januari 2014 di Blok D6, Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya antara 23 Disember 2013 dan 21 Januari 2014.

Dengan itu, beliau didakwa dengan sengaja gagal mematuhi terma notis pendakwa raya di bawah Seksyen 49(1) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 bertarikh 23 Disember 2013.

The Star sebelum ini melaporkan SPRM menyiasat Chin Wah selepas Bank Negara melaporkan beliau membayar lebih RM50,000 dalam bentuk tunai untuk polisi insuran.

Chin Wah, kini berkhidmat di Urusetia JSJ Bukit Aman, memberitahu mahkamah hari ini bahawa beliau sudah mengisytiharkan segala hartanya sepanjang 38 tahun berkhidmat dalam polis.

Katanya, semua perolehan yang dinyatakan dalam akuan bersumpah itu berhubung harta alih atau tidak alih, maklumat perjalanan, maklumat perniagaan, punca pendapataan, maklumat perolehan dan maklumat perbelanjaan turut diisytiharkan kepada LHDN.

“Saya isytihar semua harta yang saya perolehi selama 38 tahun perkhidmatan saya sama ada yang dibeli dan yang telah dilupuskan,” katanya.

Tetapi, ketika menyiapkan akuan bersumpah itu, beliau beranggapan hanya perlu mengisi semua jumlah saham miliknya tanpa mengetahui beliau juga perlu mengisi punca perolehan saham itu.

“Bagaimanapun pada awalnya saya ingat borang akuan bersumpah itu ‘straight forward’ tetapi selepas dituduh di mahkamah baru saya tahu borang itu mengelirukan,” katanya.

Beliau berdepan denda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara maksimum selama setahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Hakim Sohaini Alias menetapkan 22 Mac ini untuk kedua-dua pihak berhujah selepas pasukan pembelaan menutup kes dengan mengemukakan seorang saksi iaitu Chin Wah sendiri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.