
Bagaimanapun, kerajaan persekutuan masih boleh mengambil sebahagian daripada tanah negeri bagi menjadikannya Wilayah Persekutuan, seperti mana Kuala Lumpur dan Putrajaya diambil daripada Selangor dan Labuan daripada Sabah.
Peguam Gurdial Singh Nijar berkata perlembagaan melarang seluruh negeri dijadikan Wilayah Persekutuan.
“Anda tidak boleh mengambil alih terus sebuah negeri, tidak ada peruntukan seumpama itu,” bekas pensyarah undang-undang Universiti Malaya itu memberitahu FMT.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, atau Ku Nan, yang baru-baru ini mencadangkan Pulau Pinang, di samping Langkawi dan sebahagian Melaka, dijadikan Wilayah Persekutuan bagi mengangkat taraf ekonomi orang Melayu.
Cadangan itu menimbulkan reaksi keras kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP, yang semalam melancarkan melancarkan kempen “Saya Sayang Pulau Pinang”.
Gurdial berkata menurut Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan, Pulau Pinang merupakan salah satu daripada 13 negeri dalam Persekutuan Malaysia, sementara Artikel 2 menjelaskan sebarang perubahan sempadan mesti mendapatkan kelulusan negeri dan juga Majlis Raja-Raja.
“Perlembagaan sendiri menakrifkan negeri dan struktur institusi pentadbirannya. Anda tidak boleh mengubahnya,” katanya.
Gurdial berkata cadangan Ku Nan juga tidak boleh direalisasikan menerusi sebarang penggubalan undang-undang kerana ia bercanggah dengan struktur asas sebuah perlembagaan persekutuan.
Beliau juga tidak melihat perkara itu berlaku walaupun Barisan Nasional (BN) menawan semula Pulau Pinang.
“Ada perkara yang kerajaan yang memerintah sekalipun tidak boleh ubah,” tambahnya.
Hujah dangkal
Sementara itu, badan kajian politik Ilham Centre menyifatkan hujah membantu orang Melayu sebagai “dangkal” walaupun kerajaan pusat ada beberapa kelebihan dalam soal ekonomi.
“Sekiranya pembangunan dan kejayaan orang Melayu sebagai kayu ukur pengambilaihan sesebuah Negeri Tidak Bersekutu, sudah tentu ianya akan diukur kepada pencapaian di negeri Wilayah Persekutuan sekarang. Adakah orang Melayu terbela sepenuhnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Labuan dan Putrajaya?” soal pengarah eksekutifnya, Hisommudin Bakar.
Negeri Tidak Bersekutu merujuk kepada Pulau Pinang, Melaka dan Singapura di bawah penjajahan British.
Hisommudin berkata kenyataan Ku Nan itu boleh berbaur perkauman dan tidak wajar dikeluarkan seorang menteri yang mewakili semua kaum di Malaysia.
Menurutnya, cadangan itu bersifat politik dan menampakkan kelemahan MCA dan Gerakan bagi mengembalikan kekuasaan Barisan Nasional (BN) di negeri itu.
“Dari aspek yang lain, dengan cadangan ini mungkin BN dapat mengekang kemaraan kekuatan politik dan ekonomi DAP yang diperolehi melalui pentadbiran di Pulau Pinang.
“Dengan kawalan federalisasi, projek dan tender tidak akan melalui kerajaan negeri, sebaliknya di bawah seliaan menteri Wilayah Persekutuan,” kata Hisomuddin.