
Tan Sr Abu Talib Othman berkata untuk permulaan, negeri yang terbabit perlu bersetuju untuk menyerahkan wilayahnya dengan meluluskan enakmen dalam badan perundangannya.
Bagaimanapun katanya, mana-mana pemerolehan wilayah negeri boleh disekat pada masa ini kerana kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) tidak mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen untuk meminda perlembagaan.
“Dan juga, kerajaan negeri berkenaan menerusi badan perundangan masing-masing perlu meluluskan satu undang-undang dengan majoriti mudah untuk menyerahkan wilayah mereka,” katanya kepada FMT.
Talib berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menerusi satu temu bual dengan stesen radio BFM89.9 pada Rabu yang beliau mahu menukar Pulau Pinang, sebahagian Melaka dan Langkawi kepada Wilayah Persekutuan.
Adnan berkata tindakan itu bagi memastikan dana yang mencukupi dan lebih banyak pembangunan di negeri terbabit.
Talib berkata Artikel 2 perlembagaan membenarkan Parlimen mengubah sempadan mana-mana negeri.
“Namun, perkenan Majlis Raja-raja perlu diperoleh terlebih dulu,” katanya.
Talib, yang menjadi peguam negara selama 13 tahun sejak 1980, secara tidak langsung terbabit ketika Kuala Lumpur diperoleh dari Selangor pada 1974 dan dijadikan ibu negara.
“Dan saya ada di situ untuk memastikan semua undang-undang dan prosedur yang perlu diguna pakai dipatuhi ketika kerajaan persekutuan memperoleh Labuan dari Sabah pada 1984,” katanya.
Labuan dijadikan pusat kewangan pesisir pantai sementara Putrajaya pada 2001 menjadi pusat pentadbiran kerajaan persekutuan.
Pemerolehan wilayah negeri itu berjalan lancar pada era sebelum ini kerana BN ketika itu menikmati majoriti besar di Parlimen dan mengawal hampir semua negeri.
Pulau Pinang, membantah sebarang langkah mengambil alih negeri itu, dengan Ahli Parlimen Gelugor Ramkarpal berkata ia menunjukkan Putrajaya terdesak untuk mengawal negeri itu.
Pakar undang-undang Abdul Aziz Bari berkata cadangan Tengku Adnan itu penghinaan kepada semangat demokrasi yang selama ini dihidupkan menerusi penubuhan persekutuan sejak 1948.
Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang Teng Chang Yeow dan Ketua Menteri Lim Guan Eng membantah cadangan Adnan.
Kerajaan negeri Pulau Pinang sebelum ini, Pakatan rakyat yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS memenangi negeri itu pada 2008. Mereka berjaya mempertahankan Pulau Pinang pada pilihan raya umum 2013 dengan majoriti lebih besar.
Pulau Langkawi, yang sebahagian dari Kedah dan Melaka berada di bawah pentadbiran BN.
Umno negeri, Ku Nan bincang cadangan Pulau Pinang jadi Wilayah Persekutuan