‘Kenaikan harga minyak tak jejas jualan kereta’

‘Kenaikan harga minyak tak jejas jualan kereta’

Penjual mengatakan kenaikan harga minyak baru-baru ini tidak beri kesan besar kerana pengguna mempunyai banyak pilihan

car
PETALING JAYA: Kenaikan harga petrol baru-baru ini dipercayai tidak akan menjejaskan permintaan kereta baharu, menurut para penjual yang ditemui FMT.

Sebab utamanya pengguna mempunyai banyak pilihan yang menepati keperluan, kata penjual kenderaan Abdul Ghafar.

“Kalau risaukan kos harga minyak, ada beberapa jenis kereta dengan penggunaan bahan api yang rendah,” katanya.

Tambahan pula, capaian maklumat yang mudah memastikan perniagaan berlangsung seperti biasa dalam industri automotif.

“Pengguna hari ini semakin bijak lebih-lebih lagi dengan internet,” katanya. “Pelanggan tahu bagaimana nak mencari jenis kereta yang memenuhi keperluan mereka.

“Selagi ada pilihan, orang ramai akan membeli.”

Sementara itu, seorang lagi penjual kenderaan Azman Abdullah percaya jualan kereta berkuasa tinggi tidak semestinya akan mengalami penurunan.

“Pertamanya pelanggan yang mampu memiliki kenderaan berkuasa tinggi tidak risau tentang harga minyak,” katanya. “Pelanggan yang akan rasa tertekan daripada golongan berpendapatan lebih rendah dan mereka tidak akan cari kereta berkuasa tinggi.”

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Aishah Ahmad bersetuju dengan pandangan itu.

“Saya tak rasa jualan kereta berkuasa tinggi akan turun,” katanya. “Pelanggan yang mampu memiliki kereta berkuasa tinggi juga mampu menanggung harga minyak yang lebih mahal.”

Kenderaan hibrid

Sementara itu, Abdul Ghafar dan Azman tidak percaya harga minyak yang lebih tinggi akan mendorong pengguna ke arah kereta jenis hibrid.

“Kos penyelenggaraan kereta hibrid lebih mahal,” kata Abdul Ghafar. “Jadi walaupun pengguna boleh menjimatkan beberapa sen dari segi penggunaan petrol, mereka masih membayar lebih dalam jangka masa panjang.

“Lebih wajar beli kereta murah dengan penggunaan bahan bakar yang rendah.”

Azman berkata peluang mereka mendapatkan pembeli kereta hibrid menyamai pembeli kereta berkuasa tinggi.

“Pelangan yang mampu memiliki kereta hibrid juga golongan yang mampu menanggung harga petrol,” katanya.

Aishah bagaimanapun berkata terdapat sedikit peningkatan dalam jualan kereta hibrid.

“Kereta hibrid membantu pengguna berjimat dari segi bahan bakar; jadi orang ramai akan pertimbangkan pilihan itu,” katanya.

Bagaimana pula dengan motosikal?

Seorang peminat motorsikal mempunyai pandangan tersendiri. Azlan Sani Zawawi, yang mengetuai kumpulan Persaudaran Ikatan Silaturrahim, menjangkakan akan ada lebih banyak motosikal di jalan raya akibat kenaikan harga minyak.

“Harga minyak sebab utama orang ramai menggunakan motosikal,” katanya. “Terutamanya golongan pekerja dan belia.”

Azlan percaya jumlah pengguna yang berhijrah kepada motosikal meningkat sejak 2015, namun beliau akui kenaikan harga petrol bukan satu-satunya penyebab.

“Ia juga disebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar dan kemahuan untuk hidup bebas dari tekanan, terutamanya dalam kalangan eksekutif muda.

“Minat terhadap motorsikal bertambah dengan adanya motosikal terbaikpulih serta motosikal buatan tempatan.”

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.