
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kempen jentera parti itu akan bekerja sekitar tema “Menjamin Masa Depan Pulau Pinang”.
“Dalam 2 PRU lalu, temanya ialah ‘perubahan’. Kali ini, kami mahu melihat ke masa depan untuk menyampaikan apa yang rakyat mahu.
“Tema baru itu ialah pembaharuan janji kami kepada anda, untuk bersama anda dalam apa jua keadaan pun, untuk berkhidmat kepada anda dan melindungi masa depan anda daripada ‘kleptocrat’,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran DAP Pulau Pinang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Shang Wu, hari ini.
Chow berharap Pakatan Harapan juga akan menggunakan tema dicadangkan DAP itu.
Katanya, PRU14 akan diadakan bila-bila masa dan parti itu mahu memaklumkan orang ramai mengenai rancangannya memenangi mandat baru untuk mentadbir Pulau Pinang buat penggal ke-3 bersama rakan dalam Pakatan Harapan.
“Mulai 18 Mac ini, kami akan memulakan kempen menghadapi pilihan raya akan datang. Ada banyak kerja perlu dilakukan.
“Saya harap semua yang berada dalam kepimpinan parti, daripada pusat kepada peringkat cawangan akan memainkan peranan masing-masing bagi memastikan kemenangan kami untuk 1 penggal lagi.”
Pakatan Harapan mendapat sokongan kuat di Pulau Pinang pada PRU 2013 dengan memenangi 30 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Daripada jumlah itu, DAP memenangi 19 kerusi, PKR 10 kerusi dan PAS 1 kerusi, manakala Umno pula mempunyai 10 kerusi.