
Pusat penamaan calon hanya akan dibuka 9.00 pagi, namun kumpulan penyokong BN sudah ramai berkumpul di masjid daerah di sini sebagai persiapan awal.
Ketika ini, tidak kelihatan sebarang tanda akan berlaku pertandingan memandangkan kelibat pihak lain yang mungkin berminat untuk turut serta dalam PRK ini tidak kelihatan di mana-mana, namun masih terlalu awal untuk ditentukan.
PRK DUN Tanjong Datu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Adenan Satem, yang juga ketua menteri Sarawak ke-5 akibat komplikasi jantung pada 11 Januari lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Februari sebagai hari mengundi.
BN Sarawak yang bermesyuarat pada 1 Februari lepas memutuskan untuk meletakkan balu Adenan, Puan Sri Jamilah Anu, sebagai calon.
PKR yang bertanding di kawasan itu pada pilihan raya negeri (PRN) lepas mengumumkan tidak akan turut serta dalam PRK ini.
PRN Sarawak ke-11 Mei lalu menyaksikan Adenan, 72, memperoleh 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi, yang hanya meraih 468 undi.
Kira-kira 250 petugas pilihan raya dilantik untuk mengendali proses PRK yang dianggar menelan belanja RM997,919. DUN Tanjong Datu mempunyai 9,959 pemilih berdaftar, terdiri daripada 9,771 pengundi biasa dan 188 pengundi awal.
Timbalan Perdana Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tiba di Kuching Khamis lepas dijangka turut serta dalam perarakan BN ke pusat penamaan.
Beliau dijangka disertai Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Tun Openg, serta menteri kabinet Sarawak yang lain.
Keadaan cuaca yang baik setakat ini dijangka melancarkan lagi proses penamaan calon pagi ini.