Mengapa lewat wujud daftar pesalah seks, soal DAP

Mengapa lewat wujud daftar pesalah seks, soal DAP

Adun Selangor mengingatkan 3 ahli Kabinet kerajaan terhadap janji yang dibuat sejak Mei 2015 bagi mewujudkan daftar pesalah seks.

yeo-bee-yin
PETALING JAYA: Ahli Dewan Undang Negeri (Adun) DAP Selangor Yeo Bee Yin membidas 3 ahli Kabinet kerajaan kerana lambat bertindak terhadap isu daftar pesalah seks.

Kepentingan perkara itu ditimbulkan Yeo susulan berita kepulangan persogol bersiri Selva Kumar Subbiah dari Kanada selepas menjalani hukuman penjara 24 tahun.

“Dia disyaki mencabul 1,000 wanita dan kanak-kanak perempuan malah dikatakan sebagai ‘pesalah paling teruk dan paling berisiko’ oleh pengerusi Lembaga Imigresen dan Pelarian Kanada pada pendengaran mahkamah selepas pembebasan Selva pada Ahad lepas.

“Rentetan berita itu, banyak kumpulan wanita sekali lagi menggesa Putrajaya menubuhkan daftar pesalah seks sempurna dengan tujuan memastikan pemantauan sepatutnya dilakukan terhadap pesalah seks,” kata Yeo, sambil menambah Putrajaya mesti memberi tempoh masa bila daftar pesalah seks sewajarnya boleh ditubuhkan.

Yeo, yang juga ahli strategi media sosial DAP, berkata gesaan daftar seks dibuat seawal Mei 2015 apabila seorang pelajar Malaysia didapati bersalah di United Kingdom kerana memiliki pornografi kanak-kanak.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri bersetuju dengan gesaan bagi daftar itu selepas orang ramai marah terhadap pelajar Nur Fitri Azmeer Nordin, memiliki lebih 30,000 video dan gambar pornografi kanak-kanak, mungkin kembali ke Malaysia,” kata Yeo, hakikatnya tiada sebarang susulan oleh menteri sejak itu.

Yeo juga mengingatkan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang sudah 6 bulan berlalu sejak Akta Kanak-kanak Pindaan 2016 diwartakan.

Pindaan ini termasuk penubuhan daftar kanak-kanak, mengandungi rekod banduan yang melakukan jenayah terhadap kanak-kanak termasuk jenayah seksual.

“Kita baca semalam kementeriannya bermesyuarat dengan polis untuk memuktamadkan daftar pesalah seks kanak-kanak ‘tidak lama lagi’.

“Sudah 6 bulan sejak undang-undang diwartakan, kami ingin tahu berapa lama yang dikatakan ‘tidak lama lagi’ itu.”

The Sun melaporkan November lalu Rohani berkata daftar pesalah seks dijangka siap pada akhir tahun lepas.

Rohani berkata daftar kanak-kanak yang akan diletakkan di bawah jabatan kebajikan sosial, mengandungi maklumat mengenai pesalah jenayah termasuk kesalahan seksual, di bawah sebarang undang-undang bertulis di mana kanak-kanak menjadi mangsa.

“Tetapi daftar itu sulit dan tidak boleh diakses orang ramai. Ia bukan sahaja mengandungi maklumat mengenai banduan yang menjalani hukuman tetapi juga maklumat mengenai mangsa, yang identiti mesti dilindungi,” Rohani dipetik sebagai berkata.

Yeo juga mengkritik Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang berkata terdapat kebimbangan daftar pesalah seks melanggar hak mereka.

“Kami ingin mengingatkan menteri mengenai hak wanita dan kanak-kanak perempuan di Malaysia bagi persekitaran yang selamat adil lebih penting berbanding hak pesalah seks.”

Beliau berkata ia tidak boleh diterima selepas bertahun-tahun “mengkaji mengenai perkara itu”, Putrajaya nampaknya masih tidak mempunyai petunjuk tentang hubung kait daftar pesalah seks yang betul dengan hak asasi manusia dan residivisme.

“Kami menggesa tindakan pantas 3 ahli Kabinet – Nancy, Rohani dan Nur Jazlan untuk bertindak bersama dan mewujudkan daftar pesalah kes.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.