
Ketua Wanita MCA, Heng Seai Kie berkata, lelaki yang kini berusia 56 tahun itu mungkin menjadi seperti Richard Huckle, pedofil dari Britain yang mendera secara seksual kanak-kanak dari kawasan miskin di Kuala Lumpur.
Seorang bekas polis Kanada yang pernah mengendalikan kes Selva Kumar memberi amaran perogol itu masih merupakan ancaman kepada masyarakat.
“Wanita MCA sangat bimbang Subbiah mungkin berakhir seperti seorang lagi Huckle, merayau dan mengintai di jalan raya mencari mangsa bawah umur, khususnya mereka yang buta huruf dan miskin.
“Dan (dia) boleh menggunakan kekayaannya untuk melepaskan diri daripada liabiliti kerana mengelakkan kelaparan adalah keutamaan buat golongan miskin di bandar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau memberi amaran jumlah kes Selva Kumar disabitkan mungkin tidak memberi gambaran sebenar terhadap jenayahnya kerana ramai mangsa rogol sering mengelak membuat laporan polis.
Heng turut menggesa penggubal undang-undang Malaysia memperkenalkan undang-undang yang membenarkan pesalah seks yang melakukan jenayah di luar negara, dibicarakan di Malaysia juga.
“Khasnya jika mereka pedofil. Walaupun mereka sudah menjalani hukuman di luar negara bagi kesalahan yang dilakukan di sana, mereka perlu menghadapi tuduhan sama dan sabitan di negara sendiri.
“Amalan sedemikian sudah dikuatkuasakan di Australia, United Kingdom dan Amerika. Bukan itu sahaja, pesalah seks juga perlu dijauhkan daripada kanak-kanak.
“Jika perlu, rakan pesalah seks juga perlu memakai peranti pengesan untuk memantau pergerakan mereka.”
Selva Kumar dijangka pulang ke Malaysia Ahad ini, selepas menjalani penjara selama 24 tahun di Kanada.
Pada 1992, dia didapati bersalah atas 19 pertuduhan serangan seksual, 28 pertuduhan penggunaan bahan larangan seperti dadah dan 10 pertuduhan pelbagai serangan serta kesalahan lain, termasuk peras ugut.
Menurut laporan CBC News, antara mangsa Subbiah termasuk 4 gadis, dengan seorang daripadanya berusia 14 tahun.
Pada mesyuarat lembaga parol minggu lalu, Selva Kumar berkata, dia mempunyai “pelan pembebasan berstruktur” untuk kebebasannya di Malaysia dan juga “sokongan keluarga yang kuat”.