
Ramkarpal Singh berkata, tidak seperti Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, yang diperoleh bagi tujuan berbeza, tiada sebab meletakkan Pulau Pinang di bawah peraturan persekutuan.
“Cadangan Tengku Adnan berbunyi lebih seperti satu cubaan melucutkan hak Pulau Pinang untuk dijajah satu kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada Rabu, Tengku Adnan, dalam temu bual bersama stesen radio perniagaan BFM89.9, berkata bercadang menjadikan Pulau Pinang, Langkawi dan sebahagian Melaka sebagai WP.
Beliau berkata, ini bagi memudahkan kerajaan persekutuan menumpukan perhatian dan menyalurkan dana ke lokasi terbabit.
Kuala Lumpur, diisytiharkan sebagai WP pada 1974, diikuti Labuan (pusat kewangan luar pesisir) pada 1984 dan Putrajaya pada 2001, pusat pentadbiran kerajaan persekutuan
Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata pelan Tengku Adnan adalah petunjuk yang jelas tentang keadaan terdesak Putrajaya dalam mengawal negeri itu yang mungkin merasakan kini di luar jangkauan Barisan Nasional (BN).
Ketika itu, kerajaan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS, memenangi kuasa di Pulau Pinang pada 2008. Ia mengekalkan negeri itu dengan majoriti lebih besar pada pilihan raya umum 2013.
Ramkarpal berkata kenyataan Tengku Adnan mencerminkan kedangkalan dan kejahilannya mengenai prinsip asas dalam mana-mana demokrasi yang akhirnya rakyat yang perlu membuat keputusan siapa yang patut mentadbir.
“Pulau Pinang akan sentiasa menjadi bahagian penting dalam Malaysia. Sebarang percubaan untuk mengubahnya menjadi WP akan dilihat lebih sebagai manuver politik,” katanya.
Ketua BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow dan Ketua Menteri Lim Guan Eng kedua-duanya menolak cadangan Tengku Adnan semalam.
Teng, yang mahu pulau itu kekal sebagai sebahagian daripada Pulau Pinang, berkata mereka yang mahu meneruskan idea itu hanya “bermimpi”.
Perlembagaan Persekutuan menyatakan Parlimen, dengan 2/3 kelulusan kedua-dua dewan, boleh mengakui negeri baru dan mengubah sempadan.
Pelan ini juga perlu mendapatkan kebenaran daripada badan perundangan negeri yang terjejas, dengan majoriti 2/3.