
“Menyertai kumpulan itu bukan bermaksud merestui tindak tanduk atau agenda presiden, tetapi malangnya ia disalah tafsir sebegitu,” Kalanick memberitahu kakitangannya menerusi email yang dibaca AFP.
Kalanick berkata beliau berbincang dengan Trump mengenai arahan menyekat penghijrahan dan memaklumkan keputusan untuk tidak dapat menyertai majlis ekonominya.
Majlis itu ditubuhkan tahun lalu dan turut dianggotai ketua eksekutif Tesla dan SpaceX, Elon Musk.
“Ada banyak kaedah memperjuangkan perubahan adil mengenai penghijrahan, namun dengan terus kekal di dalam majlis itu akan menyulitkan usaha itu,” Kalanick memberitahu stafnya.
“Penghijrahan dan keterbukaan terhadap pelarian merupakan bahagian penting kejayaan negara ini, dan secara jujurnya, kejayaan Uber.”
Pemandu Uber sebelum ini membidas Kalanick dan syarikat itu kerana menganggap beliau merestui Trump, selepas arahan presiden itu menerima tentangan hebat dalam dan luar negara.
Sebuah kempen #DeleteUber mula mendapat sokongan di media sosial, menyeru orang ramai memilih pesaingnya Lyft, yang mencatatkan peningkatan.
Arahan Trump minggu lalu menyasarkan rakyat 7 negara majoriti Islam, di samping menggantung selama 3 bulan kemasukan rakyat Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman.