
Kerusi itu dikosongkan selepas kematian Adenan bulan lepas.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Openg berkata Jamilah, yang tidak mempunyai pengalaman politik, akan dinamakan sebagai calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada hari penamaan 4 Februari nanti. Pengundian akan diadakan pada 18 Februari.

FMT, memetik sumber PBB, sebelum ini melaporkan isteri bekas ketua menteri itu calon utama pimpinan parti.
Laporan itu menyatakan Jamilah, yang keberatan menyertai politik secara aktif, bersetuju untuk bertanding kerusi itu, yang dimenangi Adenan semasa mengepalai BN dalam pilihan raya negeri Mei lepas.
Jamilah terkenal dengan kerja amal dan kesukarelawan. Beliau dilaporkan banyak menyumbang dalam bidang pendidikan, kesihatan dan alam sekitar.
Wanita 61 tahun itu juga popular dalam kalangan rakyat Sarawak.
Awal bulan ini, spekulasi bertiup kencang anaknya, Azizul Annuar, calon pilihan untuk kerusi itu, selepas kematian Adenan pada 11 Januari.
Menurut sumber, selain Azizul, anak Adenan hasil perkahwinan pertama, Abdul Aziz juga disebut sebagai calon.
Adenan sebelum ini berkahwin dengan adik ketua menteri terdahulu, Tun Abdul Taib Mahmud yang kini gabenor negeri.
Adenan meninggal dunia akibat komplikasi jantung selepas 8 bulan memimpin Barisan Nasional, memberi kemenangan bergaya kepada PBB yang memenangi 72 daripada 82 kerusi negeri.
Penganalisis sebelum ini berkata pemilihan Jamilah untuk Tanjung Datu, ditambah pula populariti Adenan, akan menarik undi simpati dan kemenangan lebih besar daripada 5,892 majoriti undi yang dimenangi bekas ketua menteri.
Ini bukan kali pertama BN meletakkan balu penyandang sebagai calon. Bulan lepas, Mastura Mohd Yazid bertanding dan menang di Parlimen Kuala Kangsar, selepas suaminya Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terbunuh dalam kemalangan helikopter semasa berkempen dalam pilihan raya negeri Sarawak.
Adenan bertahan di DUN Tanjung Datu selama lebih 9 tahun. Pertama kali beliau memenangi kerusi itu pada pilihan raya negeri ke-9 Mei 2006.
Beliau sebelum itu Adun Muara Tuang, yang digalas sejak 1979.
Terdapat kira-kira 9,899 pengundi di Tanjung Datu.