
Bercakap kepada para jeneral tentera Filipina, Duterte berkata beliau meminta bantuan China di perairan merbahaya itu untuk mengekang kumpulan pemberontak Islam, Abu Sayyaf, yang menjalankan kegiatan melanun dan penculikan.
Peningkatan kejadian lanun di perairan Filipina memaksa pemilik kapal melencongkan kapal dagang masing-masing ke perairan lain, menyebabkan peningkatan kos dan masa penghantaran.
Duterte berkata kegiatan melanun di Laut Sulu yang terletak antara Malaysia timur dan selatan Filipina akan meningkat ke paras melarat seperti yang disaksikan di Somalia, menaikkan kos insuran, harga barang dan perkhidmatan.
“Kami sukacita sekiranya pihak berkuasa China berada di situ…untuk meronda,” kata Duterte, dan berkata China boleh menghantar kapal pengawal pantai dan tidak semestinya kapal perang.
“Kegiatan melanun di Selat Melaka dan Laut Sulu masih masalah yang besar,” katanya. Selat Melaka, yang terletak antara Malaysia barat dan pulau Sumatra, Indonesia, dicemari kegiatan melanun sejak bertahun.
Beliau tidak memaklumkan jawapan China.
Filipina, Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk meronda dan menangani Abu Sayyaf di Laut Sulu dan Laut Sulawesi selepas mereka menculik kru kapal tunda Indonesia dan Malaysia serta kapal dagang Korea Selatan dan Vietnam.
Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorenzana minggu lepas berkata kerjasama mungkin akan melibatkan Brunei dan Singapura. Amerika Syarikat melahirkan kebimbangan akan masalah keselamatan di situ dan mengadakan latihan bersama Malaysia dan Filipina tahun lepas.
Lorenzana hari ini berkata tentera Filipina meningkatkan operasi darat dengan matlamat menumpaskan Abu Sayyaf dalam masa 6 bulan.