
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata OIC perlu merangka strategi dan langkah diplomatik yang perlu diambil untuk menjamin keadilan dan memupuk persefahaman antara semua pihak terlibat.
“Saya kecewa menerima berita arahan Presiden Donald Trump ditandatangani Jumaat yang melarang kemasukan pelarian dari 7 negara Islam ke AS.
“Walaupun isu imigresen dan kawalan sempadan adalah hak setiap negara, namun larangan umum seperti yang kita saksikan ini amatlah dikesali dan menampakkan tahap kepercayaan yang wujud pada waktu ini di antara pentadbiran AS sekarang dan dunia Islam,” katanya dalam satu kenyataan.
Berkuatkuasa serta-merta, Trump mengeluarkan arahan membeku kemasukan pelarian selama 4 bulan dan warga Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman selama sekurang-kurangnya 90 hari.
Menurut Trump, pentadbirannya memerlukan masa mewujudkan proses penapisan lebih ketat bagi pelarian, pendatang dan pelancong.
Media melaporkan Trump akan memberi keutamaan kepada pelarian Syria beragama Kristian.
Wan Azizah berkata Malaysia selaku anggota OIC perlu melibatkan diri dalam perbincangan dengan pentadbiran AS melalui semua saluran diplomatik.
“Di dalam OIC ini melibatkan 57 negara Islam termasuk negara-negara yang terkesan akibat arahan Trump. Ini demi menyelesaikan sebarang isu berbangkit,” katanya.