2 kru bot karam hanyut 18 jam sebelum diselamatkan

2 kru bot karam hanyut 18 jam sebelum diselamatkan

Mereka diselamatkan 2 pemandu bot pelancong yang menaiki bot laju dan mendengar jeritan mangsa pada jam 4.30 pagi.

 

drowned
KOTA KINABALU: Dua kru bot pelancong jenis Catamaran, yang karam dengan 28 pelancong China ketika menuju ke Pulau Mengalum dari Kota Kinabalu semalam, dipercayai berada di laut selama kira-kira 18 jam sebelum diselamatkan awal hari ini.

Seorang penyelamat Eduard Delos Reyes, 37, yang juga seorang pemandu bot pelancong, berkata beliau dan seorang lagi rakannya Chu Chun Yung, 30, menyelamatkan Aman Abdul, 38, dan Sharezaa Salian Sali, 25, kira-kira pukul 4.30 pagi.

“Kami bertolak dengan ‘speed boat’ dari Jeti Tanjung Aru dalam 8 malam semalam menuju ke perairan sekitar Pulau Mengalum dan lebih kurang 4.30 pagi tadi, kami mendengar jeritan meminta tolong.

“Kami menyuluh kawasan sekitar dan terlihat Aman dan Sharezaa berpaut antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini malam ini.

Menurut Delos Reyes, beliau dan Chu menarik 2 mangsa itu ke dalam bot mereka dan mengambil keputusan untuk mencari mangsa lain iaitu seorang lagi kru dan 28 pelancong China.

Apabila tiada lagi mangsa ditemui, beliau berkata mereka memutuskan menamatkan pencarian kira-kira pukul 11 pagi selepas beliau dan rakannya bersama 2 mangsa itu berasa lapar.

Katanya, mereka terus ke Pulau Tiga dan kemudiannya ke Kota Kinabalu di mana mereka dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk diambil keterangan.

Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata 23 lagi mangsa ditemui oleh bot nelayan, 3 daripadanya mati dan dijangka tiba di Kota Kinabalu awal pagi esok.

Pencarian ke atas 6 lagi mangsa masih diteruskan.

Bot itu yang membawa 31 orang – 3 kru dan 28 pelancong warga China – dipercayai karam akibat cuaca buruk dan laut bergelora.

Nahas berlaku kira-kira sejam selepas bot itu bertolak dari Jeti Tanjung Aru pukul 9 pagi semalam menuju ke Pulau Mengalum, kira-kira 56 km ke barat laut Kota Kinabalu.

Bot karam: 3 disahkan mati

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.