
Paul Kennedy, pengarah carian Fugro Survey – bahagian daripada syarikat Belanda yang diupah Australia untuk pencarian dasar laut bagi pesawat Malaysia Airlines – berkata beliau percaya ia boleh ditemui, The Weekend Australian melaporkan semalam.
Beliau juga berkata, jika Fugro mendapat suruhannjaya baru untuk mencari pesawat itu, “ia tidak akan memakan masa yang lama” untuk menyediakan segala sumber.
Ini kerana syarikat itu sudah mempunyai 350 kakitangan serta peralatan yang ditempatkan di Perth, termasuk sebuah kenderaan pengimejan sonar autonomi torpedo bernilai $10 juta.
“Ia pasti akan ditemui,” kata Kennedy merujuk kepada MH370.
Kenyataan beliau susulan gesaan pencarian baru, selepas ketiga-tiga kerajaan terlibat dalam carian membuat keputusan menggantungnya.
Australia, China dan Malaysia mengumumkan penggantungan pencarian MH370 awal bulan ini, hampir 3 tahun selepas pesawat hilang di Lautan Hindi.
Pesawat itu hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, dengan 239 orang di atas kapal.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, yang mengetuai pencarian dalam air, berkata “kemungkinan besar” MH370 berada dalam kawasan 25,000 km persegi baharu yang dikenal pasti panel pakar antarabangsa bulan lepas, sebagaimana dilaporkan The Weekend Australia.
Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini dilaporkan berkata walaupun carian digantung, pakar kembali untuk mencari mencari bangkai pesawat.
Katanya, apabila pihak berkuasa yakin lokasi tepat pesawat, mereka boleh meneruskan pencarian.