Dan kini…perpustakaan 10 sen

Dan kini…perpustakaan 10 sen

Pengasas projek ambulans 10 sen, teksi 10 sen dan pasar 10 sen, kini muncul dengan idea baharu, perpustakaan untuk kanak-kanak miskin di Bukit Jalil.

10senlib
PETALING JAYA: Kuan Chee Heng menjadi tajuk berita apabila memulakan projek perkhidmatan penting kepada golongan miskin pada kadar hanya 10 sen.

Projek terbaru selepas ambulans 10 sen beliau adalah perpustakaan awam untuk kanak-kanak di Bukit Jalil.

Selama ini projek 10 sen beliau lebih berkonsepkan memberi subsidi kepada perkhidmatan yang mahal, pertama kali beliau mengenakan bayaran 10 sen bagi perkhidmatan yang boleh diperoleh secara percuma. Mengapa?

Lelaki berusia 54 tahun itu memberitahu FMT, ia kerana beliau percaya orang tidak akan menghargai apa yang mereka peroleh secara percuma.

“Ia hanya 10 sen. Wang itu bukan untuk saya. Semua kembali kepada perpustakaan. Jumlah yang bakal dikumpul juga tidak akan cukup untuk menjalankan operasi perpustakaan,” katanya.

Tetapi bagaimana jika orang mengatakan beliau terbawa-bawa dengan jenama 10 sen untuk segala-galanya?

“Saya tidak melakukan ini untuk kemasyhuran,” katanya menjawab, sambil menambah projek itu dinamakan perpustakaan 10 sen kerana mudah untuk diingati.

“Projek perpustakaan 10 sen adalah projek Malaysia. Saya hanya seorang lelaki yang ditugaskan untuk memastikan ia siap.

“Sumbangan dalam bentuk barangan, wang tunai dan kepakaran datang daripada orang ramai,” katanya.

Kuan berkata perpustakaan awam terdekat dengan Bukit Jalil juga jauh, kira-kira 9km dari sini.

“Ada isu wang dan keselamatan. Adakah anda membenarkan anak seawal usia 7 tahun berjalan ke perpustakaan yang jauh?”

“Dengan perpustakaan 10 sen di kawasan sendiri, ibu bapa lebih tenang mengetahui anak-anak mereka selamat dan lebih dekat dengan rumah,” katanya.

Satu unit kosong di bawah blok rumah pangsa miskin tegar PPR Pinggiran Bukit Jalil akan ditukar menjadi perpustakaan di mana proses pengubahsuaian sedang berjalan.

Dewan Bandaraya membenarkan Kuan mengendalikan unit perpustakaan itu secara percuma.

500 buah buku baharu juga diperoleh untuk projek tersebut.

Perpustakaan akan beroperasi dari pagi hingga 10 malam setiap hari dan terbuka kepada kanak-kanak dan remaja berusia 7 hingga 17 tahun yang datang daripada keluarga susah.

Kuan berkata seseorang akan diupah bagi menjaga perpustakaan dan memantau kanak-kanak di situ.

“Kami mahu perpustakaan bukan sahaja menjadi tempat membaca dan melakukan kerja sekolah tetapi juga pusat di mana kanak-kanak boleh mendapatkan bantuan apabila mereka dalam kesusahan,” kata Kuan.

Antara projek 10 sen lain yang beliau bangunkan adalah pasar, perkhidmatan ambulans dan perkhidmatan teksi.

Pasar 10 sen terletak di PPR Pinggiran Bukit Jalil setiap bulan. Golongan kurang berkemampuan boleh membeli barangan pada harga 10 sen setiap satu.

Teksi 10 sen pula bertujuan bagi memenuhi keperluan golongan miskin dan memerlukan di Puchong, Seri Kembangan dan kawasan berhampiran.

Sebelum perpustakaan, projek terbaru beliau adalah ambulans 10 sen. Ia beroperasi di kawasan luar bandar di Kedah, Puchong dan Seri Kembangan.

Semua projek dibiayai oleh orang ramai.

“Tanpa rakyat Malaysia dan rakan yang pemurah, saya tidak akan dapat melakukan ini,” kata Kuan.

After 10 sen market comes 10 sen ambulance for poor

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.