Bimbang dan teruja bawa isteri Melayu sambut Tahun Baharu Cina

Bimbang dan teruja bawa isteri Melayu sambut Tahun Baharu Cina

Sejak berkahwin dengan wanita Melayu, Adam belum lagi memperkenalkan isterinya. Itu yang akan dilakukannya Tahun Baharu Cina kali ini.

Adam-Lee_chines_600
SUBANG:
Perbezaan agama bagi Adam Lee Hock Aik tidak menjadi penghalang meneruskan tradisi keluarga menyambut Tahun Baharu Cina pada setiap tahun.

Lebih menerujakan kali ini tahun pertama Adam membawa isterinya, Sarah Mohd Yusof ke kampung halamannya yang terletak di Kubang Kerian, Kota Bharu bagi menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarganya.

Adam berkata ibu bapanya sentiasa terbuka dan memberi kebebasan untuk membuat keputusan dalam hidupnya, termasuk ketika mahu berkahwin dengan Melayu beragama Islam.

“Masa nak kahwin, saya telefon emak saya dan dia gelak sahaja. Manakala ayah saya pula cakap, ‘nak kahwin ikut kamulah’. Itu sahaja, tidak ada halang pun,” katanya.

Bagaimanapun, beliau pada mulanya tidak berkenan membawa isterinya.

“Sebab isteri saya tidak pernah jumpa ibu bapa saya lagi.

“Sewaktu nikah pun kami hanya buat secara kecil-kecilan dan hanya dihadiri keluarga sebelah isteri sahaja di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais),” kata Adam, 44, yang berkahwin Disember lalu.

Walaupun memeluk Islam, Adam berkata hubungan keluarganya tidak putus.

“Sebab saya tetap anak mereka dan mereka tetap ibu bapa saya. Mereka suka ke tidak, itu keluarga saya.

“Apa yang menguatkan hati saya hanya ingin mempertemukan isteri saya dengan ibu bapa saya,” katanya.

Sarah, 35, turut teruja menyambut Tahun Baharu Cina di Kelantan.

Dan beliau merancang menyediakan masak-masakan Melayu untuk keluarga suaminya.

Katanya, masakan Melayu boleh menjadi kelainan dalam sambutan Tahun Baharu Cina kali ini, tetapi tidak mahu ketinggalan mempelajari tentang makanan tradisi Cina.

Mengenai sambutan Tahun Baharu Cina di Kelantan, Adam berkata keluarganya tidak menetapkan pakaian tradisional.

“Kami kadang-kadang semasa Tahun Baharu Cina hanya memakai kemeja T cerah seperti merah dan kuning,” katanya.

“Sama sahaja, seperti menyambut Hari Raya Aidilfitri. Kami akan ke rumah pakcik dan makcik dan akan memberikan ‘Ang Pow’ kepada anak saudara kami.”

Tetapi, semua itu mungkin berubah kali ini, kerana buat kali pertama, ahli keluarga baharu akan berkunjung.

Ditanya bagaimana beliau akan melakukan ibadat harian sebagai seorang Islam di kalangan keluarganya, Adam tidak menganggap ia masalah.

“Saya akan solat di bilik saya,” katanya.

Namun, tidak semuanya berjalan lancar, malah salah seorang ahli keluarganya masih tidak dapat menerima anggota keluarga mereka menukar agama.

“Saya berharap Tahun Baharu Cina kali ini saya dapat bercakap dengan dia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.