Bencana banjir Johor ragut 2 nyawa

Bencana banjir Johor ragut 2 nyawa

Seorang mangsa dipercayai lemas dihanyut arus selepas terjatuh dari bot ketika dalam perjalanan ke pusat pemindahan banjir

mangsa-banjir-2
PETALING JAYA:
Bencana banjir di Johor sudah meragut 2 nyawa setakat hari ini, kata Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Datuk Ayub Rahmat.

Beliau berkata salah seorang mangsa dipercayai lemas dihanyut arus selepas terjatuh daripada bot ketika dalam perjalanan ke pusat pemindahan banjir di Segamat, 2 hari lepas.

Mangsa, Mohd Faiz Syafiq Hassan, 21, berasal dari Kampung Tengah, Segamat.

“Mangsa dijumpai pada jam 7.45 pagi tadi semasa rondaan mencari dan menyelamat dilakukan bersama polis dan 3 anggota bomba. Mayat dijumpai dalam keadaan terapung lebih kurang 10 meter dari lokasi mangsa jatuh.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Segamat untuk bedah siasat,” katanya kepada FMT.

mangsa-banjir-1

Menurut Ayub, mayat mangsa kedua, seorang waga emas, sedang dikenalpasti.

Sementara itu, kerajaan negeri menjangkakan jumlah mangsa di 3 daerah – Muar, Segamat dan Tangkak – akan terus bertambah malam ini berikutan peningkatan paras air Sungai Muar.

Menurut Ayub, jumlah mangsa banjir setakat 2.00 petang tadi kira-kira 7,224 orang (melibatkan 2,079 keluarga) dari daerah Segamat, Tangkak, Kluang dan Muar di 67 pusat pemindahan.

“Secara keseluruhan walaupun cuaca agak elok sedikit tetapi kita jangkakan jumlah mangsa banjir di kawasan Sungai Muar berpotensi meningkat.

“Sungai Segamat sudah turun, tetapi bagi Sungai Muar meningkat. Ini kerana antara faktor selain hujan, air daripada Rompin masuk mengalir. Air daripada Sungai Segamat dan Sungai Muar bersatu mengalir ke Tangkak dan menghala ke Bukit Kepong dan Muar.

“Maka kawasan berdekatan seperti di Pagoh dan kawasan Tangkak, Muar dijangka akan terjejas,” katanya kepada FMT.

Angka yang diterima FMT menunjukkan 5,273 sedang berlindung di pusat pemindahan di Segamat, 1,537 orang di Tangkak, 51 orang di Kluang, dan 219 orang di Muar.

“Hanya 2 daerah tidak terjejas dengan banjir iaitu Kulai dan Pontian,” katanya, dan menambah pusat pemindahan di Johor Bahru, Mersing, Batu Pahat dan Kota Tinggi sudah ditutup.

Sementara itu, FMT diberitahu perkhidmatan bas ke Johor masih diteruskan seperti biasa.

Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Se-Malaysia, Presiden Datuk Mohamad Ashraf Ali berkata syarikat bas mempunyai 2-3 jalan alternatif untuk sampai ke destinasi masing-masing walaupun negeri dilanda banjir.

“Setakat ini tiada arahan dikeluarkan untuk pemberhentian operasi di kawasan banjir, katanya.

Sementara itu, Keretapi Tanah Melayu (KTM) dalam satu kenyataan semalam berkata penjadualan semula perjalanan semua perkhidmatan tren KTM Intercity yang mengalami gangguan berikutan banjir di sektor selatan dan Pantai Timur.

KTM berkata, gangguan bermula semalam berikutan banjir di sektor Selatan, di KM590.250 antara Segamat – Genuang, Johor dan sektor Pantai Timur di KM 220.5, Kuala Lipis – Gua Musang.

Penjadualan semula perjalanan adalah seperti berikut:

1. Tren No 26 (JB Sentral – Tumpat) – Penumpang akan menaiki tren dari Stesen JB Sentral ke Stesen Kluang. Dari Stesen Kluang, penumpang dibawa ke Stesen Tumpat menggunakan bas;

2. Tren No 27 (Tumpat – JB Sentral) – Penumpang akan menaiki tren dari Stesen Tumpat ke Stesen Kuala Krai. Di Stesen Kuala Krai, penumpang akan menaiki bas ke Stesen Kluang dan meneruskan perjalanan ke Stesen JB Sentral menggunakan tren;

3. Ekspres Selatan (Gemas – JB Sentral) – Perkhidmatan tren hanya beroperasi di laluan Stesen JB Sentral – Stesen Kluang. Selepas itu, penumpang akan meneruskan perjalanan menggunakan bas bagi laluan Stesen Gemas – Stesen Kluang; dan

4. Shuttle Pantai Timur (Kuala Lipis – Gua Musang – Dabong – Kuala Krai – Tumpat) – Perkhidmatan tren hanya beroperasi antara laluan Kuala Krai – Tumpat sahaja.

KTMB menjelaskan semua penumpang yang terjejas layak menerima pemulangan tambang penuh.

“Tuntutan tambang boleh dibuat sebelum tren atau bas berlepas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.