
Hoo Ke Ping, yang menerbitkan beberapa buah buku mengenai ekonomi antarabangsa, berkata perjanjian itu belum pun bermula. “Oleh itu, saya tidak nampak bagaimana ia boleh memberi kesan kepada Malaysia,” katanya dalam temu bual dengan FMT.
Beliau membuat spekulasi bahawa Malaysia mungkin menikmati pertumbuhan yang lebih baik dengan mengenepikan TPP kerana ia membuka jalan bagi perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
“Isu utama RCEP ialah masih belum ada sesuatu yang konkrit,” katanya. “Mereka masih belum memulakan rangka kerja rundingan.
“Bagaimanapun, melalui RCEP, Malaysia akan mempunyai perdagangan yang lebih besar dengan China dan India dalam sektor minyak sawit dan petrokimia.
“Dijangka akan ada lebih pertumbuhan melalui RCEP dibandingkan dengan TPP.”
Sebanyak 1.3 bilion orang China dan India 1.2 bilion akan terkesan oleh RCEP, satu saiz pasaran lebih besar berbanding hanya 800 juta orang dalam TPP.
Seorang pegawai Institut Demokrasi dan Hal ehwal Ekonomi (Ideas) juga menghalusi perkara ini dan mengatakan penarikan diri AS daripada TPP bermakna perdagangan Malaysia dengan China dan India tidak akan terkesan.
“Malaysia berunding mengenai RCEP dengan merujuk tetapi tanpa dipengaruhi perjanjian TPP,” kata pengurus hubungan luar Ideas Azrul Mohd Khalib.
“Perjanjian perdagangan bebas dalam apa jua bentuk perlu dirundingkan untuk memberi manfaat kepada negara, tidak kira sama ada ia TPP atau RCEP.
“Bagaimanapun, perkara lain juga perlu dipertimbangkan selain dari hanya melihat angka populasi sesebuah negara dalam menilai jika sesuatu perjanjian perdagangan akan memanfaatkan Malaysia.
Beliau berkata Malaysia perlu melihat berapa banyak akses pasaran China dan India yang akan diperolehi.
“Hanya kerana India mempunyai penduduk seramai 1.2 bilion, ini tidak bermakna secara automatik kita akan dapat akses pasaran itu,” katanya.
“Jika negara-negara menyekat akses pengimportan ke pasaran tempatan mereka, mengenakan tarif yang tinggi, perundingan “carve-out”, dan menolak untuk meliberalisasikan sebahagian ekonomi mereka kerana takut persaingan asing, maka kita akan mendapat manfaat yang sangat sedikit.”
Azrul berkata kerajaan Malaysia perlu terus ke hadapan berdasarkan perkembangan perundingan TPP, terutamanya melalui komitmennya untuk meliberalisasikan ekonomi.
“Ini termasuk isu baru perjanjian perdagangan bebas seperti perolehan kerajaan, persaingan, harta intelek, tenaga kerja dan alam sekitar.
“Melaksanakan komitmen tersebut, tidak kira sama ada ia TPP atau RCEP, akan mengakibatkan peluang akses pasaran, peningkatan kelebihan daya saing Malaysia dan peningkatan keyakinan pelabur di negara ini, semua ini akan menarik pelaburan asing dan membina keupayaan negara. Kita mesti dapatkan semua ini.”
Laporan sebelum ini mengatakan penarikan diri AS daripada TPP, satu perjanjian yang diketuai AS sendiri semasa pentadbiran Obama, memberi tamparan kepada Malaysia dalam usaha meningkatkan eksport minyak kelapa sawitnya.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Mah Siew Keong berkata, Malaysia berharap untuk meraih manfaat daripada TPP, termasuk pengurangan tarif ke atas minyak sawit yang dieksport ke 11 negara pakatan itu.