
Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) Hairuddin Omar berkata kredibiliti yang ada pada Tunku Ismail mampu membawa pasukan bola sepak negara ke tahap yang lebih tinggi.
“Cumanya kalau tanya mana satu, saya nampak Tunku Ismail menjadi pilihan. Terbukti dia membuat perubahan dalam bola sepak Johor. Sebab apa dibuat itu sebenarnya diperlukan dalam menguruskan bola sepak moden,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai 4 individu yang disahkan FAM yang mendapat pencalonan bagi merebut jawatan presiden badan induk itu pada Kongres Pemilihan FAM ke-53, pada 25 Mac ini.
Empat tokoh itu ialah bekas ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Aseh Che Mat, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Tunku Ismail serta bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa.
Hamidin berkata FAM akan menyerahkan surat pengesahan pencalonan bagi jawatan itu kepada semua calon dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, Hairuddin berkata 3 calon lain turut mempunyai potensi dan kredibiliti untuk menjadi presiden FAM.
Hairuddin berkata presiden baharu FAM yang dipilih nanti seharusnya menyatakan perancangan dan visi mereka dalam melakukan perubahan bola sepak negara.
“Bukan setakat ambil alih saja. Tetapi perlu membuat perubahan pembangunan daripada semua aspek.
“Kalau Khairy Jamaluddin nak buat perubahan yang betul, saya sokong. Asalkan di antara mereka ini benar-benar mahu melakukan perubahan secara menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, bekas bintang bola sepak kebangsaan, Khalid Ali turut sependapat Tunku Ismail merupakan calon paling sesuai menjadi presiden FAM baharu.