Perkasa suruh DAP ‘Cina buta’ jika nak rujuk PAS

Perkasa suruh DAP ‘Cina buta’ jika nak rujuk PAS

Presiden Perkasa menyarankan DAP menerima RUU 355 sebagai bukti kejujuran untuk bekerjasama semula dengan PAS.

ibrahim-ali-dap
KUALA LUMPUR :
Datuk Ibrahim Ali menyarankan DAP menyokong rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 jika ingin bekerjasama semula dengan PAS.

Presiden Perkasa itu berkata, penerimaan RUU 355 itu menjadi bukti sama ada DAP jujur atau tidak untuk berbaik semula.

“Apabila Lim Kit Siang kata nak kerjasama dengan PAS terpulang dengan PAS. Perkara pertama saya rasa beliau perlu lakukan adalah setuju dengan RUU355, sekurang-kurangnya tunjuk kejujuran dulu. Sebab itu hak orang Islam.

“Kalau beliau (DAP) boleh buat sokongan terhadap RUU 355, mungkin PAS nak rujuk balik,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Perkasa hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Penasihat DAP Lim Kit Siang semalam yang menyatakan sanggup bergabung dengan PAS semula.

Kit Siang berkata, mereka boleh bekerjasama sekali lagi jika Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedia memberi komitmen menyelamatkan Malaysia daripada menjadi kleptokrasi dunia.

Mengulas lanjut, Ibrahim pada masa sama turut berseloroh DAP dan PAS sudah bercerai talak 3 dan perlu melakukan “Cina buta” supaya dapat bersama semula.

“Kalau ikut kenyataan kedua-dua pemimpin, macam dah talak 3, tak boleh rujuk.

“Kena ‘Cina buta’ dulu. Jadi tak tahu lah macam mana caranya, beliau kena tunjuk dulu kesediaan nak rujuk balik, apa penyebab mereka berpisah dahulu,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kemungkinan akan berlakunya tsunami politik Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, Ibrahim berkata ia tidak menjangka ia akan berlaku.

Ini kerana apabila Dewan Rakyat bubar, 50% pengundi akan membuat keputusan berdasarkan parti masing-masing.

“50% dah buat keputusan untuk undi siapa. Ahli PAS undi PAS, kalau penyokong kuat Umno akan undi Umno, yang masuk PPBM akan undi PPBM,” katanya.

Sementara baki 50% lagi, beliau berpendapat ia bergantung kepada kaedah kempen, jentera pilihan raya dan media.

Kit Siang hulur salam perdamaian pada Hadi

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.