MB: Perak akan roboh 2,800 menara telekomunikasi haram

MB: Perak akan roboh 2,800 menara telekomunikasi haram

Keengganan syarikat mendaftar atau membayar permit kira-kira RM2,000 bagi sebuah menara telekomunikasi untuk tempoh setahun menyebabkan kerajaan negeri kehilangan hasil pendapatan minimum RM20 juta.

zambry
IPOH: Kerajaan negeri Perak akan merobohkan semua menara telekomunikasi yang didirikan secara tidak sah di negeri ini, kata menteri besarnya.

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ketika ini terdapat lebih 2,800 menara telekomunikasi milik pelbagai syarikat telekomunikasi yang dipasang secara tidak sah di seluruh Perak.

“Ketika ini, hanya terdapat 1,400 menara telekomunikasi yang didirikan secara sah di Perak, namun jumlah tidak berdaftar lebih sekali ganda,” katanya selepas merasmikan Seminar dan Bengkel Pembangunan Infrastruktur Perkhidmatan Telco Negeri Perak hari ini.

Menurut Zambry, keengganan syarikat berkenaan berdaftar atau membayar permit kira-kira RM2,000 bagi sebuah menara untuk tempoh setahun menyebabkan kerajaan negeri kehilangan hasil pendapatan minimum RM20 juta.

“Dua belas negeri mengenakan syarat sama, iaitu keperluan permit dan mereka akur, tetapi di Perak ini mereka degil atas pelbagai alasan, termasuk kos operasi,” katanya.

Zambry berkata, tindakan tegas itu akan diambil secepat mungkin selepas Garis Panduan Pembinaan dan Pembaharuan Permit Struktur Telekomunikasi Negeri Perak dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Terdahulu, Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, draf garis panduan tersebut kini dalam peringkat akhir penyediaan yang turut melibatkan perbincangan bersama pelbagai pihak berkepentingan.

“Penyediaan garis panduan itu akan memudahkan semua pihak untuk memahami piawaian pembinaan menara telekomunikasi dan penyeragaman permit,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.