
Di Kelantan, 33 pusat pemindahan dibuka untuk menerima 2,779 mangsa setakat jam 11.00 pagi tadi, manakala di Terengganu, lebih 1,000 orang sudah berpindah.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Kelantan dan Terengganu berkata jumlah mangsa dijangka meningkat sekiranya hujan lebat berterusan.
“Setakat ini usaha memindahkan mangsa giat dijalankan. Setakat ini mangsa yang telah dipindahkan melibatkan 7 jajahan, iaitu Tumpat, Tanah Merah, Pasir Puteh, Pasir Mas, Macang, Kota Bharu dan Bachok,” kata Penolong Pengarah (Operasi) JBPM Kelantan, Hussin Ab Rahman.
“Kawasan yang terjejas teruk ialah Pasir Puteh dan Ketereh,” katanya kepada FMT.
Tambah Hussin, setakat ini sungai-sungai utama di Kelantan masih lagi berada di bawah paras bahaya, kecuali Sungai Golok yang mencatatkan mencecah paras bahaya pada 8.00 pagi tadi.
Di Terengganu, mangsa yang dipindahkan melibatkan 3 daerah iaitu Kuala Berang, Setiu dan Jertih.
“Jumlah mangsa terlibat mencatatkan peningkatan tetapi keadaan masih terkawal,” kata Penolong Pengarah (Operasi) Khairul Ariffin Che Rani.
“Paras sungai utama di Terengganu juga masih lagi di bawah paras bahaya, kecuali sungai kecil yang mencatatkan peningkatan ketara,” katanya ketika dihubungi.
Bomba selamatkan 53 warga emas selepas madrasah ditenggelami air