
“Ia gol yang cantik tetapi dia (Faiz) hanya pemain negeri sahaja, tidak mewakili Malaysia, saya harap dia akan main bersungguh-sungguh untuk mewakili Malaysia,” kata bekas pemain bola sepak kebangsaan itu kepada FMT.
Bagi Santokh, sehingga hari ini masih tidak ada pemain negara setaraf Mokhtar, menyifatkan pemain lagenda itu berada dalam kelas tersendiri.
“Dulu ada cakap, kalau 10 tahun dari sekarang akan nampak seorang lagi seperti Mokhtar, tetapi sampai sekarang saya masih tidak nampak,” katanya ditemui di kediamannya di Sentul.
Mokhtar yang bermain untuk pasukan Selangor dan kebangsaan diberikan jolokan “Supermokh” malah dianggap sebagai lagenda bola sepak negara. Kelincahan, kepantasan dan kederasan sepakannya menyebabkan pihak lawan gerun.
Mokhtar terkenal dalam peranannya memenangi pingat gangsa untuk Malaysia pada Sukan Asia 1974 dan pingat emas pada Sukan Sea 1977 dan 1979.
Mokhtar turut menjaringkan gol kemenangan bagi Liga Malaysia XI menentang kelab Arsenal dalam perlawanan persahabatan pada 1975.
Kesetiaan
Santokh berkata, kesetiaan kepada kelab dan disiplin Mokhtar sewaktu berada di dalam padang dan luar padang sukar ditandingi pemain hari ini.
“Dia seorang yang sangat berdisiplin, kalau latihan dia sangat tepat pada masanya, kalau lepas latihan, dia akan berlatih untuk lagi 30 minit atau 1 jam,” katanya.
Santokh yang bermain untuk posisi pertahanan turut berharap supaya kerajaan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil berat terhadap skuad bola sepak kebangsaan pada 1972.
“Apa yang Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin lakukan bagus, mereka berikan RM100 ribu kepada Faiz Subri, FAM beri RM50 ribu.
“Tetapi saya hendak beritahu kepada FAM, tolonglah lihat semula kepada pasukan 1972 yang pergi ke Sukan Olimpik di Munich, German. Kebanyakan mereka tidak ada kerja, tolonglah berikan sedikit ganjaran, sekurang-kurangnya dapat membantu mereka,” katanya.
Pada 1972, skuad bola sepak kebangsaan berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik 1972 di Munich dengan menewaskan Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Filipina sepanjang pusingan kelayakan.
Pada pusingan pertama Sukan Olimpik, Malaysia berjaya menewaskan pasukan Amerika Syarikat dengan skor 3 berbalas 0. Bagaimanapun, Malaysia tewas kepada 2 negara lain iaitu Jerman Barat dan Maghribi.
Santokh berkata, jauh di sudut hatinya beliau berharap agar bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara diberikan pencen bagi menghargai sumbangan diberikan
“Kalau boleh, harus berikan pencen kepada pemain-pemain lama. Jika boleh, kerajaan haruslah mengkaji untuk berikan pencen kepada semua bekas-bekas atlet kebangsaan. Ia seolah-olah menghargai kerana mereka mengharumkan nama negara,” katanya.