
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, pindaan akta itu kini dalam proses penelitian perundangan Jabatan Peguam Negara.
“Kerajaan sudah mengiktiraf perkhidmatan ini (e-hailing). Cuma, sekarang tiada undang-undang atau peraturan untuk perkhidmatan ini (Grab dan Uber).
“Apabila dipinda, e-hailing nanti perlu beroperasi tertakluk kepada peruntukan dan seliaan undang-undang seperti perkhidmatan sedia ada.
“Kami ambil kira pandangan setiap agensi berkaitan dan saya dimaklumkan pindaan ini akan dibincangkan pada sidang Parlimen terdekat nanti,” katanya selepas menghadiri majlis perbarisan tamat latihan Kursus Asas dan Induksi Pegawai Penguatkuasa SPAD hari ini.
Seramai 41 penguat kuasa SPAD menyertai majlis itu yang turut dihadiri Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Major Jeneral (B) Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad.
Mengulas lanjut, Syed Hamid berkata, pindaan terhadap akta itu perlu supaya kerajaan dapat memastikan tiada percanggahan antara kedua-dua perkhidmatan tersebut dengan teksi.
Sementara itu, Che Hasni berkata, SPAD akan memperhebatkan operasi dan penguatkuasaan sehingga musim perayaan Tahun Baharu Cina bagi memastikan pengusaha pengangkutan awam mematuhi peraturan selain mengekang berlakunya kemalangan di jalan raya.
“Kita akan laksanakan operasi bermula esok sehingga 1 Februari, termasuk penugasan anggota selama 24 jam pada 27 Januari hingga 5 Februari depan. Anggota akan ditempatkan di beberapa kawasan, termasuk di terminal bas, lapangan terbang, pusat bandar dan lebuh raya,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai membuat laporan terhadap pengendali dan pemandu kenderaan awam darat yang tidak berhemah serta tidak mematuhi peraturan kepada SPAD melalui talian hotline 24 jam di 1800-88-7723 atau emel kepada [email protected].