
Lim Lip Eng menyifatkan cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga dikenali sebagai Ku Nan itu, sebagai tidak masuk akal.
“KL bukan bapa awak punya. Jangan halang ‘kapcai’ masuk ke bandar,” katanya ketika ditemui di stesen minyak Petron di Jalan Segambut, hari ini.
Beliau mendakwa ekonomi KL akan lumpuh jika kerajaan melarang “kapcai” memasuki ibu kota.
“Ku Nan cuba halang ‘kapcai’ memasuki bandar dan kemudian beliau batalkan pelan itu. Jika pelarian boleh diterima masuk ke negara ini, kenapa penunggang motosikal tidak dibenarkan memasuki bandar?
“Malah, di Jakarta dan Bangkok di mana kesesakan trafik amat teruk, mereka juga tidak larang ‘kapcai’.”
Kelmarin, Tengku Adnan menjelaskan larangan “kapcai” memasuki pusat bandar Kuala Lumpur hanyalah sekadar cadangan dan ia tidak akan dilaksanakan jika rakyat tidak bersetuju.
Beliau mendakwa cadangan itu diputarbelitkan pihak tertentu.
“Kami merasai nadi rakyat, kalau rakyat tak mahu, kami akan ikut pandangan rakyat, jadi pengguna motosikal ‘kapcai’ jangan bimbang dan kita tidak akan laksanakannya,” kata Ku Nan.
Isnin lalu, Tengku Adnan berkata, cadangan itu antara usaha untuk mengurangkan kadar pelepasan karbon, selain bagi menangani jenayah ragut dan pelaksanaannya akan dipertimbangkan jika tambang pengangkutan awam berpatutan.
Dalam pada itu, Lim menyasarkan petrol bernilai RM5,000 diberikan secara percuma kepada 1,000 penunggang motosikal berkuasa rendah.
“Ini adalah token Tahun Baru Cina kepada penunggang kapcai daripada golongan berpendapatan rendah. Gaji mereka tak banyak dan kami berharap sumbangan kecil ini dapat membantu mereka.”
Cadangan larang ‘kapcai’ batal jika rakyat bantah, kata Ku Nan