Jika lebih RM250, perlu masukkan pin

Jika lebih RM250, perlu masukkan pin

Terminal tanpa sentuhan hanya boleh memproses satu transaksi pada sesuatu masa dan pedagang juga mesti terlebih dahulu memasukkan jumlah transaksi.

contactless-card
KUALA LUMPUR: Pemegang kad debit tanpa sentuhan perlu memasukkan nombor pengenalan peribadi 6 angka (PIN) untuk urus niaga melebihi RM250 mulai 1 Julai, 2017, kata CIMB Bank.

Dalam satu kenyataan hari ini, CIMB berkata pada masa ini, setiap transaksi tanpa sentuhan terhad kepada RM250, dan tandatangan atau PIN diperlukan untuk transaksi melebihi jumlah itu.

“Juga ada kawalan mengelak penipuan dalam sistem kami, yang akan mengesan dan menangani transaksi yang tidak dibenarkan berdasarkan logik tertentu yang ditetapkan oleh bank,” katanya.

CIMB Bank berkata demikian sebagai respon kepada laporan media sosial bahawa data dalam kad tanpa sentuhan boleh “dicuri”.

Bank itu berkata setiap transaksi tanpa sentuhan mengandungi kod unik yang bertukar bagi setiap pembelian, dan hanya boleh digunakan sekali sahaja, dan hanya boleh dijana oleh cip dalam kad tanpa sentuhan yang asal.

“Ini menghalang kad palsu daripada dikeluarkan dan digunakan hasil daripada pintasan butiran keselamatan kad,” katanya.

CIMB berkata setiap transaksi hanya boleh dibuat apabila kad debit tanpa sentuhan diimbas dalam jarak 4cm atau diletakkan pada pembaca kad tanpa sentuhan.

Menurut CIMB, terminal tanpa sentuhan hanya boleh memproses satu transaksi pada sesuatu masa dan pedagang juga mesti terlebih dahulu memasukkan jumlah transaksi untuk diluluskan oleh pemegang kad.

“Oleh itu, pelanggan hanya akan dibilkan sekali bagi transaksi itu,” katanya dan menolak kemungkinan berlaku 2 pembayaran apabila kad itu diimbas 2 kali pada pembaca kad.

Bagi mereka yang mempunyai 2 kad tanpa sentuhan dalam dompet, dan dompet itu diimbas pada pembaca tanpa sentuhan, CIMB berkata, tiada urus niaga akan berjaya apabila pembaca kad mengesan lebih daripada satu kad.

“Anda perlu melakukan transaksi sekali lagi dengan kad yang berkaitan,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.