MH17 antara sebab Ukraine heret Rusia ke mahkamah antarabangsa

MH17 antara sebab Ukraine heret Rusia ke mahkamah antarabangsa

Duta Ukraine ke Malaysia berkata, kumpulan bersenjata haram yang beroperasi di Ukraine melakukan keganasan di negara itu menggunakan senjata dibekalkan Rusia, termasuk menembak jatuh pesawat MH17.

Olexander-Nechytaylo
KUALA LUMPUR:
Tragedi MH17 dijadikan sebahagian prosiding Ukraine di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, bagi mempertanggungjawabkan Rusia terhadap tindakan keganasan dan diskriminasi dalam pencerobohannya ke atas Ukraine.

Duta Ukraine ke Malaysia, Olexander Nechytaylo berkata, dalam kes yang difailkan pada 16 Januari lalu itu, Ukraine mendakwa Rusia mencabuli Konvensyen Antarabangsa untuk Menyekat Pembiayaan Keganasan dengan membekalkan senjata dan bantuan berbentuk lain kepada kumpulan bersenjata haram beroperasi di negara itu.

“Kumpulan-kumpulan ini melakukan keganasan di Ukraine menggunakan senjata yang dibekalkan Rusia, termasuk menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17,” kata duta itu dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu terhempas di timur Ukraine pada Julai 2014, membunuh semua 298 penumpang dan anak kapal.

Kes itu difailkan di bawah Konvensyen Antarabangsa bagi Menyekat Pembiayaan Keganasan dan Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum yang ditandatangani kedua-dua negara terbabit.

Menurut kenyataan itu, tindakan keganasan lain termasuk pembedilan kawasan kediaman di Mariupol dan Kramatorsk, kemusnahan sebuah bas awam berhampiran Volnovakha dan pengeboman sebuah perhimpunan aman di Kharkiv.

Selain itu, Ukraine juga mendakwa Rusia mencabul Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum dengan terlibat dalam kempen diskriminasi terhadap komuniti bukan Rusia yang tinggal di Semenanjung Crimea, wilayah diduduki Rusia, khususnya warga Ukraine dan Muslim Tatar.

Ia mendakwa bermula dengan pungutan suara haram yang dijalankan secara ugutan, pihak berkuasa Rusia yang menduduki wilayah itu menguatkuasakan dasar penghapusan budaya terhadap komuniti terbabit.

Diskriminasi bercorak sedemikian dikecam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memetik Menteri Luar Ukraine, Pavlo Klimkin sebagai berkata, Ukraine membawa perkara berkenaan kepada ICJ selepas lebih 2 tahun cuba menyelesaikan pertikaian menerusi rundingan seperti dituntut Konvensyen, namun Rusia enggan menghentikan pencabulan undang-undang antarabangsa.

“Justeru, kami failkan kes untuk mempertanggungjawabkan Rusia terhadap pencabulan ini dan untuk mempertahankan hak asas rakyat Ukraine berdasarkan triti yang turut ditandatangani Rusia,” kata Klimkin.

Ukraine turut memohon ICJ mengenakan langkah sementara untuk menghalang Rusia daripada terus mencabuli hak asasi manusia sementara menunggu kes itu selesai.

Mengenai MH17, duta itu berkata, Rusia menggunakan kuasa vetonya di PBB pada Julai 2015 untuk menyekat draf resolusi yang menyarankan penubuhan tribunal antarabangsa bagi menyiasat tragedi udara itu.

Rusia satu-satunya negara dalam kalangan 15 anggota Majlis Keselamatan PBB yang menentang langkah itu, mencetuskan kecaman pelbagai pihak.

Bagaimanapun, dalam kes ini, Rusia perlu hadir di ICJ memandangkan negara itu adalah penandatangan 2 Konvensyen terbabit, kata duta itu kepada Bernama ketika ditemui di luar Sesi Luar Biasa Menteri-menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam mengenai minoriti Muslim Rohingya di Myanmar yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.