
Hakim Mahkamah Rendah Syariah Klang, Mohd Hairuddin Abd Rahim mendapati bekas timbalan pesuruhjaya PAS Selangor yang kini pemimpin Amanah itu bersalah mengajar tanpa tauliah di sebuah surau di Klang.
Khalid didakwa di bawah Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) kerana berucap di sebuah surau di Taman Seri Sementa, Kapar, antara 10 malam hingga 11.50 malam pada 16 Ogos 2011.
Menurutnya, beliau dijemput ke surau itu untuk menceritakan pengalamannya ketika mengunjungi Palestin, dan bukan menyampaikan ceramah agama.
“Saya balik dari Gaza, Palestin pada tahun 2011 dan saya telah dijemput ke surau untuk memberi ceramah mengenai perjalanan saya ke Gaza,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.
Pengarah komunikasi Amanah itu berkata, beliau sekadar menjalankan tanggungjawab untuk menceritakan pengalamannya di Gaza seperti dipesan Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh.
“Hujahan yang diberikan hakim seolah-olah tindakan saya menceritakan pengalaman ke Gaza di surau di Sementa itu mendatangkan satu kemudaratan besar kepada rakyat, masyarakat dan negara.
“Ini merupakan satu persoalan saya masih rasakan tidak tepat dan tidak wajar kerana saya tidak melakukan apa-apa kesalahan, melainkan menyampaikan apa yang diamanahkan kepada saya.
“Oleh itu, ianya kembali kepada persoalan takrifan mengajar agama Islam itu dengan cara lebih jelas dan lebih tepat supaya undang-undang seperti ini tidak boleh disalahgunakan dan tidak terhasil daripadanya kezaliman,” katanya.
Berdasarkan hukuman denda itu juga, Khalid boleh hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen Shah Alam.
Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan ahli Parlimen akan hilang kelayakan selama 5 tahun, jika beliau sabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000.
Khalid berkata, beliau akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah esok berhubung keputusan ini.
“Mungkin. tapi bila kita dah buat rayuan itu, maka keputusan berhubung hilang kedudukan saya sebagai ahli Parlimen akan ditangguh sehingga keputusan rayuan itu sendiri.”
Khalid membayar denda itu.